Wang Lebih RM350,000 Lesap! Pesara 62 Tahun Terjerat Dengan Macau Scam

Seorang pesara wanita berumur 62 tahun telah mengalami kerugian sejumlah wang yang bernilai lebih RM350,000 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.

Menurut Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, dia memaklumkan bahawa wanita itu menerima mesej pesanan ringkas (SMS) dan mendakwa mangsa membuat pembelian atas talian pada jam 9.07 pagi, 17 Ogos lalu.

Memetik laporan Berita Harian, ketua polis itu turut memaklumkan bahawa pesara wanita itu menghubungi nombor telefon suspek yang disertakan dalam mesej pesanan ringkas lalu suspek menyamar sebagai pegawai bank dan meminta semua mengenai maklumat banknya.

“Mangsa kemudian kongsikan semua maklumat akaun banknya bersama nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

“Pada 20 Ogos lalu, mangsa menyedari wang dalam akaun bank berjumlah RM352,050 telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga, disyaki dilakukan oleh ‘scammer’ tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya lagi, selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa terus membuat laporan polis semalam.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, beliau turut menasihatkan orang ramai agak sentiasa peka dan elakkan daripaada menjawab panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas daripada mana-mana pihak yang mencurigakan dan tidak dikenali.

“Sekiranya menerima panggilan sedemikian, sila hubungi balai polis berdekatan untuk pengesahan sebelum membuat apa-apa transaksi pindahan wang.

“Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka dengan modus operandi terkini ‘scammer’ bagi mengelak kejadian serupa berulang,” nasihatnya.

Sumber: Berita Harian

Atiqah Johari