Categories: Trending

“Kita Tunggu Proses Seterusnya” – Puteri Sarah Lega Ira Kazar Dipanggil JAWI

Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 37, mengesahkan Ira Kazar sudah tampil memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), minggu lalu.

Ketika ditemui XTRA, Puteri Sarah menolak untuk berkongsi butiran lebih lanjut kerana enggan menganggu siasatan.

“Dia sudah tampil memberikan keterangan dan pegawai sedang menjalankan siasatan.

“Proses ini mengambil masa untuk dikaji. Jadi, Insya-Allah proses akan ke tahap seterusnya.

“Proses seterusnya, kena tunggulah.

Saya tak boleh berkongsi kerana masih dalam proses siasatan kes gangguan orang ketiga. Manakala, kes di Mahkamah Sivil juga sedang berjalan untuk dakwaan melakukan gangguan,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater Maduku Terpaling Kalut di Ibu Negara, semalam.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia lega apabila segala-galanya berjalan dengan baik.

“Sarah lega, ada perkembangan.

“InsyaAllah, doakan ada kemenangan di pihak Sarah dan keadilan untuk Sarah dan anak-anak.

“Kes ini mungkin mengambil masa yang panjang, tetapi Alhamdulillah, ia berjalan.

“Saya tak kisah berapa lama, asalkan apa yang diusahakan berjalan,” katanya.

Disoal mengenai adakah dirinya diganggu dalam laman sosial selepas aduan dibuat, Sarah mengatakan tiada sebarang gangguan setakat ini.

“Tiada gangguan sebab saya sudah memberikan injuksi. Jadi, mereka tidak boleh berkomunikasi langsung dengan saya dan mendekati keluarga saya.

“Kalau ada, saya akan beritahu peguam saya. Hidup saya lebih aman dan damai,” jelasnya.

Minggu lalu, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail mengesahkan Ira hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga membabitkan Sarah dan Syamsul.

Ira disiasat mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam pada itu, Sarah bakal muncul dalam pementasan teater Maduku Terpaling Kalut di PJPAC, 1 Utama pada 29 September sehingga 2 Oktober 2022.

Selain Sarah, teater Maduku Terpaling Kalut kali ini adalah naskhah yang dipentaskan buat kali ketiga, menampilkan pelakon popular seperti Anna Jobling, Azrel Ismail serta tiga pelakon baru antaranya Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow.

Tiket boleh dibeli di laman web www.onetix.com.my atau pembelian secara terus di kaunter mengikut kekosongan tempat duduk.

 

Khairil Khusyairi