Categories: Trending

Lagi wanita persis ‘Barbie’ ditemui, kali ini mek Kelate!

Seorang lagi ‘jelmaan’ patung Barbie bernyawa Malaysia ditemui. Sebelum ini nama-nama seperti Fazulkafli, Izubiela Rasi, Leng Yien dan Nadiyah Shahab sering diberikan jolokan anak patung yang cukup ikonik itu.

Terbaru, Shafieqa Mohd Asri pula secara menarik perhatian warganet. Wanita berusia 26 tahun itu menjadi perbualan umum kerana penampilannya yang mirip boneka itu.

Melalui perkongsian di Instagram peribadinya @fykaaschaa, Shafieqa sering memaparkan keadaan dirinya dalam keadaan ala patung boneka itu dengan memakai rambut palsu aneka warna dan riasan mata yang berani.

Wanita yang berasal dari Kelantan itu mengakui tertarik dengan dandanan yang disuai padan dengan cosplay atau costume play, untuk meniru sesuatu watak.

Hasil solekan dan kostum yang diperagakan Shafieqa yang kini digelar Barbie Malaysia menjadi tular dan sehingga hari ini akaun Instagramnya sudah memiliki 27,000 pengikut.

Shafieqa yang mesra dengan nama ‘Fykaaschaa Kaka’ berkata beliau mula membuat cara solekan yang luar biasa termasuk ala ‘Barbie’ bagi mengatasi rasa rendah diri dan malu dalam dirinya.

Beliau turut menunjukkan kreativitinya dengan menghasilkan video tutorial solekan di laman sosial secara langsung menerusi Facebook sejak 2016, namun pada waktu itu beliau lebih cenderung kepada konsep solekan biasa seperti perkahwinan dan Bollywood.

“Memandangkan sikap saya yang suka mencuba perkara baharu, saya mengubah gaya solekan atau lebih tepat mengasah bakat dengan melakukan solekan bertemakan Barbie Doll, mumia, vampire dan ‘Naagin’. Tak sangka ia akhirnya mendapat perhatian penonton di laman sosial,” katanya.

Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, Muhammad Akash Aqlan, lapan tahun, dan Muhammad Ashran Arshan (tujuh tahun), watak yang dipilih adalah daripada animasi Jepun atau anime popular kanak-kanak dengan kebanyakan pakaian dan aksesori dibeli dari China, Thailand dan Korea.

Berdasarkan perkongsiannya dalam laman berkenaan, beliau mengambil masa lebih kurang satu setengah jam untuk menghasilkan satu solekan.

“Setakat ini anggaran kos membeli barangan dan peralatan solekan lebih kurang RM30,000 dan ianya termasuk koleksi rambut palsu lebih 30 jenis, maskot, pakaian cosplay dan aksesori,” katanya.

Demi minat, beliau sanggup berhabis untuk kelihatan menarik sehingga menjadi tumpuan warganet. Apa pandangan anda?

Yanie Baharom