Categories: Trending

Lepas Dikecam Netizen, Menteri Hal Ehwal Agama Nasihat Aliff Syukri Tarik Balik Video Kontroversi

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad bercadang untuk bertemu dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri mengenai muzik video Kelepok Raya yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Menurut Idris, beliau mahu berjumpa dengan pemilik video berkenaan sebagai tanda ukhwah sesama Islam bagi berbincang pelbagai perkara.

Dalam kesibukan umat Islam mengejar 10 malam terakhir Ramadan, beliau terpanggil untuk mengulas isu itu .

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau menjelaskan terdapat perdebatan agak panas dalam kalangan rakyat terhadap klip video berkenaan yang diiringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam.

“Pastinya ia kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal selepas kita menempuh ujian dan tarbiyah di bulan Ramadan,” katanya di Facebook hari ini.

Sebelum ini, usahawan itu telah menerima kecaman ramai kerana muzik video itu tidak sesuai untuk dijadikan tontonan umum sempena sambutan Syawal yang akan datang.

Beliau turut mengajak semua umat Islam menjaga sensitiviti perkara berkaitan agama dan menjaga batasterhadap hiburan yang mahu ditontonkan kepada masyarakat.

Beliau menegaskan agar muzik video tersebut dikeluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media atau ditetapkan hanya untuk tatapan peribadi.

“Saya menasihatkan dengan penuh kasih sayang dan cinta kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah agar klip video seumpama ini dikeluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media atau ditetapkan hanya untuk tatapan peribadi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama.

“Dengan penuh rendah diri dan kasih sayang saya kepada semua saudara seIslam, semoga nasihat ini adalah kerana Allah dan biarlah Allah sahaja yang menentukan segala aturan kebaikan kepada hamba-Nya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain