Categories: Trending

Media Prima Sedia Siar Program Debat Calon Presiden UMNO

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak mengumumkan pihaknya bersedia menyiarkan secara langsung program debat antara calon Presiden UMNO sempena pemilihan parti itu akhir bulan ini.

Tambahnya, saluran TV3 khususnya mengalu-alukan program berkenaan jika diberi kebenaran menyiarkan secara langsung di televisyen, malah bersedia meluaskan siaran langsung di media sosial seperti YouTube.

“Seperti yang berlaku pada Mei lalu ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), program televisyen mengenai hal ehwal politik negara mendapat sambutan hangat daripada rakyat apabila ditonton kira-kira 17 juta orang,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau diminta mengulas kemungkinan MPTN akan turut menyiarkan debat antara calon Presiden UMNO secara langsung seperti yang dilakukan Astro Awani pada 29 Jun ini membabitkan program debat antara Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Johan berkata, isu yang akan diulas calon Presiden adalah mustahak untuk diuar-uarkan dan ia relevan kepada rakyat.

“Bukan saja ia bersempena penentuan penting kepada pucuk kepemimpinan UMNO, malah satu penanda aras untuk kewibawaan pembangkang di dalam sistem demokrasi negara,” katanya.

SGMS Faida