Categories: Trending

OST ‘Bintang’ Oleh Hael Husaini Sebenarnya Dah Siap 13 Tahun Yang Lalu

‘Bintang’ adalah tajuk drama slot Lestary terbaharu yang memaparkan perit jerih percintaan yang melibatkan perbezaan darjat dan agama antara Iris (lakonan Ruhainies) dan Thiraak (lakonan Daniel Fong).

Lagu runut bunyi yang melengkapi drama ini juga berjudul ‘Bintang.’ Menariknya, terdapat juga kisah yang mendalam di sebalik lagu ini. Ia sebenarnya telah ditulis lebih sedekad yang lalu. Namun, ia hanya dikeluarkan baru-baru ini untuk drama tersebut.

Penyanyi tersohor tanah air, Hael Husaini, berkongsi kisah lanjut di sebalik lagu ini.

Apabila ditanya sekiranya lagu ini memang disimpan khas untuk drama ‘Bintang’ ini, jejaka berusia 35 tahun ini menjawab, “Semuanya secara kebetulan. Saya merancang untuk melancarkan lagu ini pada tahun ini selepas ianya ditulis sekitar 13 tahun dulu. Lagu ini disiapkan sepenuhnya sekitar dua tahun lepas bersama penerbit muzik berpengalaman luas iaitu Szewan.”

Tambahnya lagi, “Ketika ditawarkan untuk menghasilkan lagu tema untuk drama Bintang, saya terus mencadangkan lagu ini kerana tajuknya sama dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk lagu ini dilancarkan.” Ia merupakan kerjasama sulung bagi Hael bersama Alternate Records.

Hael juga menjelaskan yang inspirasi buat dirinya ketika menulis lagu ini adalah “…apabila saya membayangkan bagaimana jika kehilangan seseorang yang sangat penting dalam kehidupan kita – maksud saya kehilangan yang abadi.”

“Orang yang pergi itu pula adalah orang yang membawa peranan besar dalam hidup kita dan sentiasa memberikan sinar dan cahaya jika kita berada di dalam kegelapan. Tiba-tiba dia hilang selama-lamanya dan kita mengibaratkan dia sebagai sebutir bintang. Dia memerhati dari atas. Kita melihat dia jauh di ruang angkasa dari bawah jika kita merindukan bintang itu,” ujarnya. Memang menyentuh hati!

Setelah sekian lama, Hael mengakui dirinya berasa amat gembira dan teruja apabila lagu ini akhirnya dikeluarkan. Dia juga berharap agar para penyokong industri muzik tempatan dapat memberi peluang kepada lagu ‘Bintang’ ini untuk mendapat tempat di dalam arena muzik.

Muzik video rasmi ‘Bintang’ akan dilancarkan selepas musim perayaan Aidilfitri nanti.

Jangan lupa untuk menyaksikan drama Bintang di slot Lestary TV3 pada setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam atau strim secara eksklusif di Tonton.

Afiqah Azizan