Categories: Trending

Papar Lakonan Aaron Aziz & Gambit Saifullah Sebagai Lelaki G*y, Pengarah ‘Suamiku Lelaki Pendosa’ Rujuk JAKIM

Menampilkan kisah berkaitan hubungan songsang dalam drama bersiri Suamiku Lelaki Pendosa, pengarah Eyra Rahman telah terlebih dahulu merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti jalan cerita yang dihasilkan.

Menurut Eyra, inisiatif tersebut dilakukan kerana dia sendiri maklum mengenai isu sensitif yang dipaparkan mungkin meraih perhatian netizen.

Suamiku Lelaki Pendosa yang sedang hangat ditayangkan di slot Samarinda TV3 merupakan hasil adaptasi novel Imamku Lelaki Pendosa karya penulis Umie Nadzimah.

“Subjek yang dipaparkan sensitif, pastinya dia akan menarik perhatian warganet. Mengangkat kisah adaptasi novel, olahan skrip dibuat mengikut kesesuaian orang ramai. Semua perkara diperhalusi, lebih-lebih lagi ia mengisahkan hubungan songsang antara Dean Ilyas (Datuk Aaron Aziz) dan Izfairin (Gambit Saifullah).

“Kami ambil berat nilai sensitiviti kerana enggan terpalit dengan kontroversi apabila ia ditayangkan. JAKIM memberikan kerjasama yang baik dan sangat membantu,” kata Eyra pada sidang media virtual drama Suamiku Lelaki Pendosa baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Jayakan Watak G*y Bila Tahu Aaron Aziz Jadi Pasangan” – Berlakon Karakter Jejaka Songsang, Gambit Saifullah Janggal Pegang Tangan Lelaki

ARTIKEL BERKAITAN: “Sisi Gelap Sebelum Kahwin… Jalin Hubungan Dengan Gambit Saifullah” – Ini Reaksi Isteri Bila Aaron Aziz Bawa Watak Lelaki Songsang

Tambah sutradara wanita ini, kisah yang dipaparkan adalah realiti kehidupan dan berharap penonton mengambil mesej sebagai pedoman.

“Memang kisah ini agak sensitif, tetapi apa yang dipaparkan tidak keterlaluan. Kisah ini adalah kisah realiti masyarakat. Semua drama yang dipaparkan mempunyai mesej, begitu juga nashkah ini.

“Saya berharap penonton dapat menjadikan ia sebagai pengajaran dan saya berharap karya arahan saya ini dapat memberikan input berguna kepada orang ramai,” katanya lagi.

Selain Aaron dan Gambit, karya 28 episod terbitan Global Station ini turut dijayakan oleh Sophia Albarakbah, Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar, Edika Yusof dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Suamiku Lelaki Pendosa, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda, TV3.

Padin