Categories: Trending

Pengasas Rumah Bonda Didakwa, Berdepan Penjara Maksimum 20 Tahun & Denda Jika…

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Namun, Siti Bainun, 29, mengaku tidak bersalah dan memohon agar dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut antara Februari hingga Jun 2021 di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pendakwaan terhadapnya ini dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tawar jaminan RM20,000

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam dan mendapat perhatian media.

“Tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis berhampiran.

“Mangsa dalam kes ini merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down selain tertuduh terbabit dalam kegiatan politik,” katanya.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober sebagai sebutan semula kes

Memetik laporan Berita Harian, tertuduh dalam rayuannya menerusi Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, memohon jaminan rendah dengan alasan sudah memberikan kerjasama kepada pihak polis selain berjanji tidak akan gagal hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

Justeru itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, isu penderaan dengan hashtag #justiceforBella ini menjadi perhatian rakyat Malaysia apabila remaja berusia 13 tahun dan mengalami sindrom down itu didera dengan kejam.

 

ARTIKEL BERKAITAN: #JusticeForBella, Pengasas Rumah Bonda Bakal Didakwa Di Mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: #JusticeForBella : Pemilik Rumah Bonda Kini Ditahan Polis

ARTIKEL BERKAITAN: “Binatang Pun Sayang Anak..”- Kanak-Kanak OKU Didera Dengan Kejam, Ramai Tuntut #JusticeForBella

Salma Syahbuddin