Categories: FeaturedTrending

Petugas barisan hadapan boleh qada puasa jika tidak berkemampuan

Petugas barisan hadapan yang bertugas demi negara terutama yang terlibat dengan tugasan membabitkan COVID-19 boleh mengqada puasa sekiranya tidak berkemampuan meneruskan ibadat berkenaan ketika Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata berikutan keadaan semasa, petugas barisan hadapan terutama di sektor kesihatan perlu memberi fokus untuk merawat pesakit, namun perlu melihat keupayaan diri sama ada mampu dilakukan atau tidak.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya dengan berpuasa dikhuatiri boleh menjejaskan tugas, petugas berkenaan boleh meninggalkan puasa, tetapi perlu diganti apabila keadaan kerja lebih ringan berbanding ketika ini.

“Sepanjang Ramadan ini, petugas barisan hadapan tetap wajib berpuasa, tetapi mungkin ada antara petugas yang kepenatan bekerja terutama petugas barisan hadapan yang bertugas untuk negara.

“Bagi petugas seperti petugas kesihatan, mereka perlu melihat kemampuan diri untuk meneruskan puasa. Sekiranya bekerja dan tidak mampu melaksanakan puasa, diharuskan berbuka serta mengqada puasa berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

Petugas barisan hadapan perlu  bersahur walau sesibuk mana sekalipun kerana mengambil sedikit makanan pada pagi hari itu mampu memberikan tenaga ketika berpuasa – gambar hiasan. Foto: NSTP/Fathil Asri.

Pada sidang media itu, beliau turut menitipkan pesan kepada petugas barisan hadapan untuk bersahur walau sesibuk mana sekalipun kerana mengambil sedikit makanan pada pagi hari itu mampu memberikan tenaga ketika berpuasa.

Petugas barisan hadapan kesihatan diharuskan berbuka puasa sekiranya tidak berkemampuan sepanjang menjalankan tanggungjawab merawat pesakit COVID-19 – gambar hiasan. Foto: BERNAMA.

Selain itu, Dr Zulkifli, berkata umat Islam disarankan supaya memanfaatkan waktu di rumah sepanjang Ramadan ini dengan melakukan aktiviti keagamaan bersama-sama keluarga.

“Kita bakal menhyambut Ramadan dengan norma baharu, duduk di rumah dan hargai masa bersama keluarga ketika ini. Tetapi tidak bermakna kita tidak beoleh melakukan aktiviti keagamaan.

“Mungkin boleh bertadarus di rumah, buat pertandingan hafazan bagi surah yang pendek, buat sidang video dengan nenek dan datuk di kampung sambil berkongsi bacaan al-Quran,” katanya.

Shaidah Shafie