Categories: FeaturedTrending

Ramai yang memuja kecantikan Imma, sayangnya dia hanyalah sebuah boneka…

Wanita cantik dan mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial seperti Instagram sehingga digelar Instafamous mahupun Influencer, sudah menjadi perkara biasa.

Bagaimanapun, jika patung menyerupai manusia mampu membuatkan 20,900 pengikut tergila-gilakannya dan memujanya, itu luar biasa.

Inilah realiti yang sedang heboh diperkatakan dalam media sosial sekarang. Jika tidak percaya, anda boleh menjengah ke ruangan akaun Instagram @imma.gram patung yang menjadi kegilaan ramai.

 

Anda boleh melihat di ruangan komen, ramai yang memuji kecantikannya, malah tidak percaya bahawa Imma hanyalah sebuah patung kerana dia kelihatan tak ubah seperti manusia tulen! 

Melihat lirik matanya yang menggoda, kulit yang mulus, bibir dan rambut yang sempurna, tidak hairanlah mengapa ramai yang terpesona dengan kejelitaan Imma.

Hakikatnya, Imma, nama yang bermaksud ‘sekarang’ dalam bahasa Jepun tercipta hasil teknik pemodelan CG, tetapi itu tidak menghalangnya daripada terus menjadi sensasi Instagram.

 

Deskripsi pada biografinya jelas menyatakan bahawa Imma ialah model maya, tetapi dengan wajah dan aksinya dalam gambar, amat sukar untuk mempercayai bahawa dia bukan manusia.

Menurut Grapee, Imma telah ditugaskan oleh ‘Produser M’ dan dia dicipta oleh syarikat pemodelan CG, ModellingCafeInc.

Sukar untuk menafikan bahawa mereka telah melakukan satu tugasan yang memberikan hasil luar biasa!

 

Imma membuat penampilan pertamanya tahun lepas, tetapi tahun 2019 adalah tahun yang membawa tuah.

Dia baru sahaja menjadi penghias muka depan majalah CG World edisi Februari dan ramai yang memperkatakan mengenainya.

Sebelum ini terdapat model Instagram maya seperti Lil Miquela, tetapi dari segi realistik, Imma berada di tahap yang lain.

Mereka yang pakar mungkin dapat mengesan bahawa dia model digital, tetapi bagi mata orang biasa, dia tak ubah seperti model Instagram lain.

 

Sumber: Oddity Central

 

Yanie Baharom