Categories: Trending

Selepas 9 Tahun, Siti Sarah Kembali Bergabung Dengan Shuib

Selepas sembilan tahun tidak tampil dengan lagu duet bersama, penyanyi Siti Sarah dan suaminya, pelawak dan usahawan Shuib kembali bergabung dan berpadu suara dalam sebuah karya baharu berjudul Semakin Benci Semakin Cinta (SBSC).

SBSC yang dicipta oleh Ajai menjadi single kedua pasangan romantis ini kerana terdahulu, mereka pernah muncul dengan lagu Cinta Itu Nyawa yang pernah dikeluarkan pada tahun 2012.

Kongsi Sarah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, dia melihat ini adalah waktu yang sesuai untuk mereka berkongsi karya baharu kepada semua.

“Lagu ini sudah dirakamkan sejak setahun lalu, lebih tepat ketika negara kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) yang pertama dahulu.

“Idea lagu ini hadir daripada Ajai sendiri apabila dia yang ingin melihat kami berduet. Malah lagu ini memang diciptakan khas buat saya dan Shuib.

“Ikutkan selepas siap dirakam memang tiada tarikh untuk lagu ini dilancarkan. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat dan Shuib juga tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu ini menjadi hadiah terbaru kepada peminat,” katanya.

Walaupun tajuk lagu menggambarkan kisah cinta, namun ini bukanlah babak kehidupan yang dilalui pasangan ini. Mengambil kesempatan melalui keadaan semasa, dia yakin dalam keadaan ramai yang berjauhan kini, lagu SBSC cukup sesuai didengar pada masa ini.

“Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan yang saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu. Dalam tempoh ini wujud pelbagai kejadian yang menduga rasa cinta mereka. Bagaimana ukuran cinta bukanlah berdasarkan jarak tetapi perasaan itu sendiri.

“Dengan keadaan negara kita yang berhadapan dengan pandemik ini, pasti ramai yang melalui situasi yang sama. Bukan sekadar tidak dapat bertemu orang tersayang, malah ada yang tidak dapat pulang ke kampung berbulan lamanya untuk bertemu orang tersayang. Jadi lagu ini saya anggap cukup kena dengan situasi sekarang,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pelawaan Ajai untuk berduet tidak dipandang sepi oleh Shuib. Melihat ini sebagai hadiah untuk isterinya yang sarat mengandung anak keempat, tambah Shuib menjadi harapanya agar lagu ini dapat diterima dengan baik.

“Kalau mahu kata puas hati, saya memang puas hati dengan penyampaian saya dalam lagu ini. Cuma kita tidak boleh harap perkara yang sama daripada semua pendengar. Bukan apa selepas sembilan tahun lagu terakhir saya dengan isteri, harus diakui memang agak mencabar.

“Apa pun saya bersyukur dengan perlancaran lagu ini. Selain berharap lagu SBSC dapat diterima dengan baik peminat,” kata Shuib yang mengagumi bakat penciptaan lagu yang dimiliki oleh Ajai.

Tambahnya lagi, Ajai tahu tentang kemampuan vokalnya dan apa yang diciptakan figura berkenaan ‘kena’ dengan mereka berdua dan akhirnya membuatkan dia selesa sepanjang proses rakaman berlangsung.

Untuk rekod, lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Indigital Music.

Padin