Categories: Trending

Hyundai BHS 7999 Dicari, Keluarga Mohon Orang Ramai Beri Kerjasama

AL- FATIHAH buat keluarga mangsa wanita yang dilanggar lari di depan Shaftsbury Square Cyberjaya, petang semalam. 

Wanita bernama bernama Wan Amirah Wan Alias itu dilanggar lari ketika singgah di bangunan kedai Shaftsbury Square, Cyberjaya berkemungkinan untuk membeli makan malam untuk dirinya dan keluarga.

Dalam pada itu, keluarga Allahyarham memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membuat laporan polis.

Sepupu mangsa, Faris Fazli, 32, berkata, sebagai orang yang rapat dengan arwah, dia memohon bantuan rakyat Malaysia supaya dapat bersama-sama membantu keluarganya untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, maklumat dan laporan polis yang dibuat itu nanti diharap dapat membantu mengesan individu yang terbabit dengan kejadian langgar lari itu untuk diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Saya memohon rakyat Malaysia yang ada maklumat, tampil ke hadapan atau buat laporan polis supaya individu yang terbabit dapat ditangkap dengan segera.

“Saya terlalu rapat dengan arwah, beza umur kami cuma setahun dan kami membesar bersama-sama. Terlalu banyak kenangan dengan dia. Dia seorang yang kelakar dan ‘nakal’. Semua orang menyayanginya,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

Seorang daripada rakan mangsa, Suhaili Yahaya berkata, kejadian yang menimpa rakannya itu adalah kehilangan besar kepada dirinya serta rakan lain di pejabat.

“Kami sudah merancang untuk pergi ke Janda Baik esok untuk bercuti bersama-sama rakan yang lain tetapi tidak menyangka kejadian ini menimpa Amirah,” katanya.

Menurut Suhaili, berdasarkan maklumat daripada pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian, suspek sebelum itu marah kerana keretanya dihalang untuk di pakir di situ sebelum beredar dan melanggar beberapa kenderaan lain dan Amirah.

“ Jika dilihat melalui video yang tular di media sosial sejak semalam, Amirah bukannya jalan sambil bermain telefon.

“ Dia dah cuba elak, tetapi tetap dilanggar sehingga diseret dan berada di bawah kereta. Pengawal keselamatan di lokasi terbabit memaklumkan, melalui percakapan dan fizikal suspek, ia berkemungkinan datang dari Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, semua elemen sudah digerakkan bagi mengesan suspek yang memandu kereta jenis Hyundai dengan nombor pendaftaran BHS 7999 yang dipercayai terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Berita lanjut tonton Buletin Utama malam ini jam 9 malam di TV3- NSTP

Sumber video: Panas Lagi

SGMS Faida