Categories: Trending

Tiket Raya Aidiladha Mula Dijual Hari Ini – KTMB

Bagi sesiapa yang ingin pulang ke kampung dengan menaiki pengangkutan awam menjelang Aidiladha nanti, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mula menjual tiket balik kampung untuk Hari Raya Aidiladha esok. Penjualan tiket akan dibuka serentak di semua stesen dan sistem dalam talian KTMB.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi berkata penjualan tiket bagi perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan Antarabandar itu adalah bagi perjalanan di antara 15 Julai dan 30 September depan.

“Sebanyak 40 perkhidmatan ETS akan ditawarkan sempena musim balik kampung melibatkan perjalanan di antara 29 Julai dan 3 Ogos.

“Ia bagi menampung jumlah permintaan yang dijangka meningkat dengan mendadak pada waktu puncak dan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” katanya dalam kenyataannya kelmarin

Beliau berkata 18 perkhidmatan Antarabandar ditawarkan khusus bagi penumpang yang akan membuat perjalanan balik kampung ke pelbagai destinasi di selatan serta Pantai Timur Semenanjung, dan pengguna digesa mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang lebih rendah serta penjimatan berganda.

Pembelian secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau menerusi aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket), dan orang ramai juga boleh menghubungi KTMB di talian 03-2267 1200 untuk sebarang pertanyaan.

Sumber: BERNAMA

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover