Agihan Dividen KWSP Bagi Tahun 2021 Lebih Tinggi Iaitu Sebanyak…

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan agihan dividen bagi tahun 2021 adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen Simpanan Konvensional sebanyak 6.10 peratus selepas mencatatkan prestasi kukuh dalam operasi dan kewangan bagi tahun 2021. Manakala, kadar dividen bagi Simpanan Shariah pula ialah pada 5.65 peratus.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif nya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.008 trilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 0.8 peratus bersamaan RM1 trilion pada 2020.
Pada Februari 2021, KWSP berkata keseluruhan aset pelaburannya meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion daripada RM924.75 bilion pada tahun 2019.
“Pertumbuhan yang lebih perlahan dalam jumlah aset pelaburannya, walaupun prestasi pelaburan yang kukuh, adalah disebabkan pengeluaran berkaitan COVID-19, termasuk pengeluaran i-Sinar Akaun 1 yang belum pernah berlaku sebelum ini berjumlah RM58.7 bilion,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 7.3 juta ahli KWSP telah memohon sekurang-kurangnya satu atau ketiga-tiga pengeluaran khas berkaitan COVID-19, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, yang secara kolektif menyaksikan sebanyak RM100.9 bilion dikeluarkan daripada KWSP antara bulan April 2020 dan Februari 2022.
Sumber : KWSP, Utusan
Salma Syahbuddin