Bakal Lahirkan Anak Sulung, Raja Ilya Mahu Cuba Bersalin Dalam Air

Pelakon Raja Ilya yang dijangka akan bersalin pada Julai nanti mahu mencuba kaedah bersalin secara normal dan dalam air (water birth).

Menurut Ilya atau nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 37, dia turut membuat persediaan menyambut kelahiran anak pertamanya dengan menyertai kelas latihan penyusuan ibu.

“Sememangnya teruja untuk menunggu kelahiran cahaya mata kami Julai nanti. Saya telah minta untuk melakukan proses bersalin secara normal dan kaedah dalam air.

“Bagaimanapun itu semua bergantung kepada tahap kesihatan dan nasihat doktor. Jika tidak ada masalah doktor akan izinkan.

“Apabila bergelar ibu semestinya saya mahu berikan susu badan kepada bayi kami nanti. Tetapi ada rasa sedikit kurang yakin dan disebabkan itu saya ambil kelas penyusuan,” katanya.

Berkongsi tentang persiapan pula, Ilya banyak membaca tentang cara-cara penjagaan bayi selain meminta nasihat daripada keluarga dan rakan-rakan.

Dalam masa sama, perasaan sebenar menjadi ibu mula dirasakan apabila usia kandungan sudah masuk enam bulan dan bayi dalam kandungan mula aktif dan kerap menendang.

“Ketika awal mengandung dulu bagaikan tidak percaya, tetapi sekarang ini bayi memang kerap menendang dan ia membuatkan saya benar-benar tahu inilah perasaan menjadi ibu.

“Persiapan menyambut kelahiran semuanya berjalan lancar. Saya banyak membaca dan buat ‘research’ sendiri. Maklumlah ini adalah pengalaman pertama, jadi semuanya tidak tahu lagi.

“Syukur ada keluarga dan rakan-rakan yang banyak beri nasihat. Mereka beritahu apa yang perlu dan tidak dalam penjagaan baik,” ujarnya.

Ilya mendirikan rumah tangga dengan lelaki warganegara Australia, Trent Garret pada Disember 2018 dan sudah dua tahun tidak pulang ke Malaysia kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Sumber: mStar

Maya Basir