“Berkat Usaha, Doa, Insya-Allah Saya Akan Kembali” – Nurul Izzah Anwar Terima Kekalahan Dengan Hati Terbuka

Kekalahan Nurul Izzah Anwar di kerusi Parlimen Permatang Pauh dilihat sebagai satu kejutan buat arena politik negara selepas kawasan Parlimen tersebut yang menjadi kubu kuat PKR sejak 1982 kini bertukar tangan kepada Pas yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kenyataan di Instagram, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi-pengundi Parlimen Permatang Pauh dengan terbuka.

“Izinkan saya mengucapkan sepenuh penghargaan buat semua pengundi – yang telah menjalankan tanggungjawab semalam.

“Inilah demokrasi yang sentiasa kita pertahankan dalam mana-mana Pilihanraya dan saya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Izzah yang sinonim dengan gelaran Puteri Reformasi itu juga menyifatkan khidmatnya yang mewakili Permatang Pauh sejak 2018 adalah satu penghormatan yang besar.

“Peluang mewakili Permatang Pauh di dalam Dewan Rakyat adalah salah satu daripada penghormatan terbesar di dalam hidup saya.

“Di Permatang Pauh lah, bermulanya Kajian Kemiskinan Pelbagai Dimensi pasca Covid-19 yang pertama di Malaysia, dan akhirnya diangkat di peringkat Economic Planning Unit (EPU) sebagai kaedah menilai kemiskinan dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merentasi pendapatan semata-mata.

“Terima kasih tidak terhingga di atas peluang dan ruang yang diberikan,” jelas Izzah.

Tambah Izzah lagi, dia berharap wakil rakyat yang dipilah dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

“Buat pengundi serta penyokong saya yang dikasihi, kasih serta dokongan anda memberi saya kekuatan dalam mendepani cabaran hidup dan masa hadapan.

“Tahniah diucapkan buat mereka yang telah diberikan mandat. Sebagaimana setiap jawatan itu, hadirnya dengan tanggungjawab dan amanah. Semoga mandat ini dipikul dengan penuh tanggungjawab, kasih dan kebijaksanaan.

“Jangan bimbang, teman-teman seperjuangan. Berkat usaha, doa, Insya-Allah I’ll be back,” tutupnya.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencipta sejarah apabila penyandang kerusi Permatang Pauh itu yang mewakili Pakatan Harapan (PH) tewas kepada calon PN-Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi.

Khairil Khusyairi