“Terima Kasih Sabak Bernam” – Eizlan Yusof

“Saya tak ‘ambil hati’, walau pun gagal di Sabak Bernam,” kata Datuk Seri Eizlan Yusof.

Eizlan, 51, mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertanding di P.092, tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan yang meraih 17,973 undi sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Warga Sabak Bernam sudah pun membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

“Saya sudah berusaha dengan kapasiti yang ada dan sangat menghormati keputusan dibuat mereka,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada warga Sabak Bernam atas layanan yang cukup sempurna, selesa dan harmoni walau pun berbeza parti politik dan pendapat selama dua minggu ‘berkampung’ di sini.

Eizlan turut menitipkan pesan kepada wakil rakyat yang telah dipilih agar jangan sia-siakan kepercayaan diberikan mereka kerana ini adalah peluang untuk mereka bekerja untuk rakyat, bukan sebaliknya.

 

Khairil Khusyairi