“Insya-Allah Jika Ada Rezeki, Kita Jumpa Lagi” – Tengku Zafrul

Bekas Menteri Kewangan dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meluahkan rasa terima kasih kepada pengundi-pengundi di Kuala Selangor.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook miliknya, Zafrul turut berterima kasih kepada jentera dan penyokong parti yang membantunya dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Terima kasih kepada semua pengundi Kuala Selangor.

“Terima kasih juga kepada semua jentera dan penyokong BN,” tulisnya.

Zafrul yang juga pertama kali bertanding Pilihan Raya Umum berkata pengalaman bertanding dan berkempen pada PRU15 atas tiket BN adalah satu penghormatan buat dirinya.

“Satu penghormatan dapat mengenali dan bekerjasama dengan anda semua. You are the best!

“InsyaAllah jika ada rezeki, kita jumpa lagi,” tutupnya.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz gagal di kerusi berkenaan selepas penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Zafrul yang juga Bendahari UMNO Selangor itu memperoleh sebanyak 30,031 undi manakala Dr Dzulkifli menang tipis dengan kelebihan 1,002 undi selepas memperoleh 31,033 undi.

Khairil Khusyairi