Diangkat Dari Kisah Benar, Filem Sayap-Sayap Patah Hampir Tidak Diterbitkan

Filem Indonesia, Sayap-Sayap Patah yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 13 Oktober ini sebenarnya diangkat dari sebuah tragedi rusuhan pengganas yang berlaku di penjara Mako Brimob, Depok, Jawa Barat sekitar tahun 2018.

Menurut penerbitnya, Denny Siregar, amat susah untuk mendapatkan keizinan bagi meneruskan penggambaran filem ini apatah lagi, ia merupakan kejadian yang memalukan buat pihak polis di negara republik itu.

Malah, sebagai seorang penerbit pastinya dia juga enggan filem tersebut menjadi propaganda pengganas.

“Susah dapat izin untuk bikin filem ini kerana, ini merupakan kejadian yang paling memalukan buat kepolisian Indonesia kerana ketika penjara itu ditawan oleh pihak pengganas ternyata, kita baru tahu yang sistem polis itu masih lemah terutamanya dalam menangani aktiviti pengganas.

“Ini juga adalah mesej buat orang Indonesia dan Malaysia bahawa penggansa itu ada dan nyata mereka itu kejam dan kita harus sama-sama lawan,”

“Kalau ikutkan, apa yang dipaparkan dalam filem ini lebih halus. Jika melihat imej sebenar, semua anggota polis badannya dipotong, dan ada yang kepalanya dipotong dari badan. Lihat gambar saja sudah mengerikan.

“Jadi, saya ingin kematian polis-polis ini dihadirkan dalam keadaan indah dan cantik meskipun mereka kalah, tapi kalah dengan cara yang terhormat. Ini antara hujah saya untuk dapatkan keizinan daripada kerajaan bagi penggambaran,” katanya kepada XTRA.

 

Sementara itu, Denny juga memaklumkan, filem bergenre drama tragis ini turut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah, menerima kecaman dalam kalangan penyokong pengganas di sana.

“Lumayan kita banyak mendapat cacian dimedia sosial kerana banyak sekali penyokong pengganas yang tidak suka… kerana filem ini secara tidak langsung menggambarkan kekecewaan yang sebenarnya nyata.

“Mereka tidak terima bahawa, kekecewaan mereka difilemkan oleh kita yang membuat kebencian terhadap pengganas semakin besar,” jelasnya.

 

Berkongsi mengenai kejadian yang menimpa selepas filem tersebut disambut hangat penonton di Indonesia, Denny juga berkongsi bahawa teraju utama filem ini iaitu Nicholas Saputra juga didakwa menerima nasib yang sama, apabila dia mula mengupah pengawal peribadi setiap kali hadir menjalani penggambaran.

“Nicholas juga sekarang seperti ketakutan dan minta pengawal peribadi mengawasi keselamatannya setiap kali di set penggambaran.

“Walaupun dia tidak pernah berkongsi tapi saya amat yakin dia juga terima ancaman,” katanya.

Denny berkata demikian ketika ditemui pada majlis Malam Gala Filem Sayap Sayap Patah yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem Sayap-Sayap Patah ini turut dibintangi barisan pelakon hebat Indonesia antaranya, Nicholas Saputra, Ariel Tatum, Poppy Siva, Iwa K, Nugie dan ramai lagi.

Salma Syahbuddin