Elak Sekatan Pergerakan Berulang, Sistem Amaran Berisiko Akan Diperkenalkan – KJ

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi bagi mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 dalam negara.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata menerusi sistem tersebut KKM mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.
“Saya akan umumkan perkara itu termasuk perincian dalam situasi bagaimana sistem ini akan diguna pakai. Mungkin dalam masa seminggu atau dua minggu ini saya akan maklumkan.
“Kalau boleh kita mahu elak sekatan pergerakan, sebab sekatan pergerakan ini bukan hanya mengganggu ekonomi tetapi memberi kesan yang lain, kesan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental, saya rasa rakyat mungkin tidak boleh menghadapi satu lagi sekatan pergerakan,” katanya.
Khairy berkata, setakat ini keadaan sistem kesihatan KKM terkawal namun tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 sudah ada.
Malah,  yang dibimbangkan adalah peningkatan kes yang serius sehingga kemasukan ke hospital terutama kes kritikal kategori empat dan lima.
Sumber: Awani
Salma Syahbuddin