Guna Nama TMJ Tipu RM20.91 Trilion, Polis Buru Suspek Bergelar Datuk Seri

Polis kini sedang memburu tiga individu termasuk seorang wanita bergelar ‘Datuk Seri’ dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pemalsuan dokumen Letter Of Underta­king dengan menggunakan nama Tunku Mahkota Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, laporan polis dibuat Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor berhubung perkara membabitkan urusan tukaran mata wang asing mencecah sehingga AS$5 trilion (RM20.91 trilion).

Pemeriksaan mendapati dokumen itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar ‘Datuk Seri’ yang mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Dokumen palsu yang didakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail itu adalah bagi menjalankan urusan tukaran mata wang asing Dolar Amerika kepada Ringgit Malaysia bernilai AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion,” katanya.

Malah, hasil semakan pihak polis mendapati  penama yang bergelar ‘Datuk Seri’ itu tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gela­ran berkenaan.

Selain itu, wanita yang bergelar ‘Datuk Seri’ itu merupakan suspek dalam kes penipuan draf Bank of Tokyo pada tahun 2011.

Bagaimanapun, siasatan kes masih dijalankan dan pihak polis berharap agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu ko­nonnya mempunyai hubungan baik de­ngan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa.

 

Sumber: Utusan

Salma Syahbuddin