JAIS Tetapkan Syarat Terkini Solat Jumaat Di Selangor

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan ketetapan terkini kepada pengurusan masjid, surau dan musolla di negeri itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard.

Ini termasuklah, hanya jemaah yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin dan dos penggalak sahaja, dibenarkan hadir menunaikan  solat Jumaat di masjid seluruh Selangor bermula 25 Februari ini.

Ia berikutan, daripada 28,734 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada Ahad, sejumlah 7,166 kes atau 24.9 peratus membabitkan penularan di Selangor.

Justeru itu, berdasarkan ketetapan tersebut Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan agar pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.

“Antara perkara yang ditekankan dalam edaran itu adalah jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak (booster) dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat.

“Pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal 1.0 meter.

“Selain itu, jemaah perlu mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia kala iaitu sihat dan tidak bergejala, memakai pelitup muka, membawa sejadah besar dan berwuduk, selain mempamerkan dan merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

 

 

Sumber : BH

Salma Syahbuddin