Keluarga Muhammad Adib Tarik Rayuan, Mahu Mulakan Kehidupan Baru

Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

Keluarga Allahyarham sudah membuat keputusan untuk menarik rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas di atas pertuduhan menghina mahkamah.

Firma guaman, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates memberitahu arahan tersebut dibuat oleh keluarganya sendiri kerana tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi.

“Susulan daripada arahan keluarga Muhammad Adib agar rayuan bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid ditarik balik, peguam telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei lalu, diikuti Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Tommy Thomas memfailkan penarikan rayuan pada Selasa,” kata Mohd Zubir.

Katanya, pihak keluarga Allahyarham menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas dan AGC sudah selesai dan tamat disini.

“Mereka turut berharap agar masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Jelas firma itu, terdapat tiga rayuan sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

“Pertama, rayuan oleh AGC bagi menegaskan bahawa hakim koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah,” katanya.

Manakala dua lagi, rayuan Mohd Kassim, 66, bagi mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

Sumber: Sinar Harian

Maya Basir