Lelaki Lagi Rela Dipenjara Daripada Tinggal Bersama Isteri

Seorang lelaki yang tidak tahan tinggal bersama isterinya menyerah diri di balai polis dan meminta dipenjara bagi menjalani kehidupan yang lebih ‘tenang’.

Memetik laporan daripada Wionews, lelaki yang berasal dari Albania, 30, sebelum ini diperintahkan menjalani hukuman di rumahnya kerana kesalahan jenayah berkaitan dadah sejak beberapa bulan lalu.

Menurut pegawai polis Carabinieri dari Tivoli, Kapten Francesco Giacomo Ferrante, lelaki itu tinggal bersama isteri dan keluarganya.

Tambahan pula, kehidupan mereka sering dilanda masalah dan lelaki tersebut tidak tahan dengan ketegangan rumah tangganya.

“Lelaki itu berkata kehidupannya bagaikan neraka dan dia mahu dimasukkan ke dalam penjara kerana tidak tahan tinggal di rumah itu.

“Oleh itu, lelaki tersebut memilih untuk melarikan diri dari rumah dan secara sukarela menyerah diri kepada polis Carabinieri untuk menjalani hukuman di penjara,” katanya.

Permintaan lelaki itu akhirnya dipenuhi apabila dia didakwa melanggar peraturan tahanan rumah.

Pihak berkuasa kehakiman juga mengarahkan polis tempatan memindahkannya ke penjara jenayah dadah, sekali gus memberikan kebebasan kepada lelaki itu daripada kongkongan isterinya.

 

Sumber: Wionews

Kredit Foto: Unsplash

Marcella