“Mohon Doakan Bayi Sulung Kami” – Elisya Sandha ‘Bunting Pelamin’

Spekulasi kehamilan yang diperkatakan terjawab apabila pelakon Elisya Sandha mengesahkan berita itu menerusi video ‘reels’ akaun Instagram miliknya.

Menurut adik kepada aktres terkenal Fasha Sandha, bukan niatnya untuk menyembunyikan kehamilan yang sudah masuk tujuh bulan itu.

“Seperti lazimnya, wanita hamil pasti bimbang mengumumkan berita berbadan dua. Kita tak tahu apa sahaja boleh terjadi dalam tempoh ini.

“Mengambil keberkatan Ramadan dan kehadiran Syawal, saya dan suami putuskan untuk berkongsi berita gembira ini,” katanya.

Namun, pelakon Pujaan Hati Kanda dan Nasi Kerabu Untuk Cik Abe itu masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina anaknya yang bakal dilahirkan.

“Saya akan mengumumkan dalam sebuah majlis ‘baby shower, Insya-Allah, bulan depan,” katanya.

Perkongsian coretan di video ‘reels’ Elisya itu menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang diberi.

“Alhamdulillah, bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Video ini sangat bermakna, ia momen terindah dalam hidup.

“Kepada sesiapa yang membaca atau melihat video ini, mohon doakan bayi sulung kami ini. Saya juga mendoakan semua wanita dapat pengalaman yang sama,” tulisnya di Instagram.

Berdasarkan video yang dimuat naik, turut dipaparkan Elisya membuat kejutan tentang kehamilannya itu kepada suami, ibu dan ibu mentuanya, Sheila Rusly.

Perkongsian Elisya itu mendapat pelbagai reaksi daripada rakan artis dan netizen yang tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah dan mendoakan proses kehamilan dipermudahkan.

Elisya mendirikan rumah tangga dengan Uzair Haqimy pada Ogos, tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir