Paralimpik Tokyo 2020: Berjaya Tumpaskan Pemain Nombor 1 Dunia, Liek Hou Raih Emas Kedua Negara

Kekecewaan negara dalam meraih pingat emas menerusi atlet lontar peluru Ziyad Zolkefli akhirnya terbalas apabila jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas kedua buat negara hari ini.

Kemenangan itu diraih Liek Hou selepas menang pada final badminton perseorangan lelaki kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, Tokyo.

Ia sekaligus menyaksikan Liek Hou dinobatkan sebagai pemenang emas sulung acara tersebut memandangkan ini adalah kali pertama badminton dipertandingkan pada Sukan Paralimpik.
Pemain ranking kedua dunia itu berjaya menundukkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dengan kemenangan 21-17, 21-15 dalam aksi penuh bergaya yang berlangsung selama 50 minit.
Salma Syahbuddin