Pengeluaran KWSP Ketika Bencana Bukan Tindakan Bijak – NUBE

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyifatkan penggunaan atau pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika setiap bencana bukanlah pendekatan yang bijak.

Ini kerana, penggunaan dana KWSP semasa setiap bencana tanda kerajaan tidak cekap dan ahli politik yang berkenaan perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja merosot dengan ketara akibat pengeluaran dibuat dalam tempoh dua tahun lalu akibat Covid-19.

“NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir, tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak.
“Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka. Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain, disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad dan khususnya, kekurangan gaji sara hidup yang baik,” katanya.
Selain itu, NUBE berpendapat bahawa skim dan insentif diumumkan oleh Perdana Menteri boleh membantu mangsa banjir.
Dan, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pihak KWSP  untuk TIDAK membenarkan pengeluaran lanjut simpanan KWSP adalah langkah tepat.
Sumber : Harian Metro
Salma Syahbuddin