Rentas Negeri Punca Kadar Kebolehjangkitan Covid-19 Meningkat?

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) menunjukkan trend peningkatan sejak lima hari lalu.

Peningkatan ini dilihat selepas kerajaan memberi kebenaran untuk orang ramai merentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Menurut Dr Noor Hisham menerusi ciapannya di Twitter, nilai Rt pada jangkaan mengikut kes harian untuk seluruh negara ialah 0.91 pada Selasa.

Selain itu, data yang dikongsikan juga menunjukkan enam negeri dan wilayah mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan semalam, dengan dua daripadanya melebihi 1.0.

Dalam pada itu, portal COVIDNOW menunjukkan sebanyak 84 kematian direkodkan semalam, dengan 20 daripadanya kematian di luar hospital.

Salma Syahbuddin