Pecahkan Cermin 12 Kereta, Bekas Pesakit Mental Ditahan

Polis telah menahan seorang lelaki yang merupakan bekas sakit mental selepas memecahkan cermin 12 buah kereta di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, semalam.

Memetik laporan daripada Utusan, lelaki berusia 39 tahun itu menghayunkan sebatang besi sepanjang empat kaki ke arah cermin bahagian depan salah sebuah kereta di hadapan sebuah bank dalam pukul 9.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh dalam satu kenyataan, selepas orang awam melaporkan kejadian itu, polis bergegas ke lokasi kejadian.

Pihak polis juga telah menahan suspek serta merampas besi biru yang digunakan untuk memecahkan cermin 12 buah kereta.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan emosi dan pernah dirawat sebagai pesakit mental tetapi sudah lama tidak mendapat rawatan psikiatri dari mana-mana hospital sakit jiwa.

“Apabila polis membuat semakan rekod, suspek didapati memiliki tiga rekod kesalahan narkotik, bagaimanapun ujian saringan air kencingnya menunjukkan negatif dadah,” katanya.

Tambahnya, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.

Jelas Ahmad Ridhwan lagi, lima pemilik kereta telah membuat laporan apabila mengalami kerugian akibat kejadian itu.

 

Sumber: Utusan

Kredit Foto: Motoqar

Marcella