“Sedih, Kesal, Kecewa Dalam Uber Cup Kali Ini, Tapi…” – Teoh Mei Xing Luah Perasaan Di Instagram

Pasukan badminton wanita kebangsaan menamatkan kempen Piala Uber dengan pelbagai pengalaman yang dipelajari setelah tewas dengan pasukan dari China, Denmark dan Canada.

Menurut pemain badminton kebangsaan, Teoh Mei Xing, dia sedih, kesal dan kecewa tetapi tetap berfikiran positif kerana ia merupakan pengalaman yang baik sebagai persiapan untuk kejohanan akan datang.

“Saya bangga berada dalam pasukan ini tetapi saya juga menyesal kerana saya tidak dapat menyumbangkan mata untuk Malaysia.

“Saya telah memberikan yang terbaik dan akan terus menjadi lebih baik,” tulisnya.

Mei Xing berkongsi luahan rasa menerusi hantaran terbaharu yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Tambah Mei Xing, tiada alasan baginya untuk tidak mencapai standard pemain lain yang berprofil tinggi tetapi dia tidak akan berputus asa untuk memperbaiki dirinya.

Mei Xing juga sangat menghargai dan berterima kasih dengan semua rakyat Malaysia yang sanggup berjaga malam untuk menonton setiap permainan mereka.

Selain itu, kebanyakkan pemain dalam pasukan ini masih muda dan ia merupakan kali pertama mereka mengikuti kejohanan ini.

“Saya meminta semua orang untuk memberikan banyak sokongan kepada pemain muda ini kerana mereka telah bekerja keras untuk membuat persiapan menyertai kejohanan ini,” katanya lagi.

Marcella