Seramai 407, 097 Calon SPM Jalani Ujian Bertulis Bermula 2 Mac Ini

Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan, seramai 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini.

Ujian bertulis ini juga akan melibatkan sebanyak 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara dan seramai 50, 514 petugas peperiksaan akan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

Justeru itu, Lembaga Peperiksaan mengingatkan bahawa semua calon peperiksaan merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung menerusi portal rasmi LP di lp.moe.gov.my.

Memandangkan kes Covid-19 dan penularan wabak Omicron yang semakin meningkat, calon diingatkan agar mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin