“Tragedi Cotton Bud” – Telinga Bernanah, Bunyi Letup-Letup Berpunca Dari Putik Kapas

Video seorang gadis yang mengalami sakit telinga melampau mendapat perhatian pengguna aplikasi TikTok.

Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna bernama @faridaharshad, gadis itu menjelaskan pada awalnya dia menyangka air yang keluar dari telinga adalah air biasa.

Rupa-rupanya, ia adalah nanah sambil menunjukkan kapas yang mempunyai cecair terbabit.

Kesakitan di telinganya semakin lama semakin bertambah sehingga terdapat bunyi letupan di telinganya.

“Malam tadi tak tidur langsung, sebab telinga saya sakit betul, saya tak tahu ada apa, tapi saya dah letak kapas, dah tiga hingga keempat kapas, masih basah dengan nanah. Ni nak pergi hospital,” kata gadis itu sambil menangis kerana kesakitan.

Gadis itu kemudiannya mengakhiri video tersebut dengan gambar ubat-ubatannya selepas pulang dari hospital dengan menyertakan mesej kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga telinga dan jangan gunakan putik kapas.

Rata-rata komen yang ditinggalkan oleh pengguna-pengguna TikTok mengakui mereka juga pernah mengalami pengalaman buruk akibat penggunaan putik kapas.

“Saya nyaris kena macam ni sampai masuk wad kecemasan sebab sakit sangat. Sekarang tak guna putik kapas, guna yang besi tu saja,” komen seorang pengguna TikTok.

Di dalam videonya yang terbaru, gadis itu akui gegendang telinganya pecah dan menjelaskan punca situasi ini berlaku kerana dia sebelum ini kerap menggunakan putik kapas selepas mandi.

“Setiap kali mandi, saya mesti guna putik kapas, saya tak tahulah mungkin dalam sangat, sebab tu dia jadi begitu,” kata gadis itu

Walau bagaimanapun, gadis itu berkata kesakitan telinganya beransur pulih dan tiada lagi bunyi letupan dengan menggunakan ubat yang diberikan oleh doktor.

Ada juga yang bertanya apa yang boleh digunakan untuk memebrsihkan telinga jika tidak boleh menggunakan putik kapas di ruangan komen.

“Doktor kata tahi telinga boleh keluar sendiri. Kalau nak cuci pergi klinik. Nanti doktor cuci pakai air, “ balas gadis itu.

Arfah