Featured By: Fadzlena Jafar October 14, 2019 @ 11:45am

Belanjawan 2020 sedia 6 insentif untuk wanita

Pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu dilihat memberi tumpuan khusus bagi pembangunan wanita secara holistik daripada  meningkatkan pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan sehingga kepada insentif untuk kesihatan menerusi pelbagai peruntukan dan program baharu.

Antaranya, #WanitaKerja yang akan membuka peluang pekerjaan kepada wanita, selain peningkatan peruntukan bagi kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak yang diharap dapat menggalakkan wanita untuk kembali bekerja atau kekal dalam pasaran kerja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata menerusi inisiatif #WanitaKerja, kerajaan berharap lebih ramai wanita kembali menyumbang kepakaran mereka bagi membantu membangunkan negara.

“Inisiatif #WanitaKerja (Women@Work) bertujuan menyediakan 33,000 peluang pekerjaan dalam setahun untuk wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.

“Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun dengan pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan selama empat tahun sehingga 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020, baru-baru ini.

Ramai wanita mengambil keputusan untuk berhenti kerja apabila bergelar ibu. Gambar hiasan/ NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

Langkah kerajaan itu bertepatan dengan masanya kerana sejak kebelakangan ini ramai wanita yang terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan cita-cita bagi memastikan kehidupan anak-anak lebih terjamin.

Ketika ini, dianggarkan 2,563,800 wanita di negara ini tidak bekerja bagi menguruskan rumah tangga, meskipun kebanyakannya mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

Selain itu, Belanjawan 2020 juga mengiktiraf wanita yang tidak bekerja bagi memberi tumpuan kepada keluarga dengan menambah baik inisiatif sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami bagi isteri seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto mereka.

Menerusi program i-Suri, suami tidak perlu menambah caruman KWSP, sebaliknya sebanyak dua peratus daripada 11 peratus caruman suami akan disumbangkan ke dalam akaun isteri yang tidak bekerja.

Belanjawan 2020 juga membawa berita gembira kepada usahawan wanita dengan menyediakan peruntukan khusus untuk membantu wanita menerusi Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk mengembangkan perniagaan.

Berikut adalah peruntukan khusus untuk wanita yang diumumkan dalam Belanjawan 2020:

1. RM30 juta untuk sedia TASKA

Tambahan RM30 juta bagi agensi kerajaan menyediakan TASKA di tempat kerja pasti melegakan ramai wanita. Gambar hiasan/NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

Kerajaan meningkatkan peruntukan sebanyak RM30 juta berbanding RM10 juta yang disediakan dalam belanjawan sebelum ini bagi menyediakan lebih banyak kemudahan penjagaan kanak-kanak, terutamanya di sekolah dan hospital.

Menerusi peruntukan berkenaan, diharap lebih banyak agensi kerajaan menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak khususnya Taman Asuhan kanak-kanak (TASKA) di tempat kerja, sekali gus dapat menggalakkan wanita yang baru berkeluarga untuk kekal dalam pasaran kerja.

Selain itu, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal di TASKA dan Taman Didikan kanak-kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

2. Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan

Sebanyak RM500 juta dari Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan diperuntukkan untuk usahawan wanita sebagai platform untuk mereka mengembangkan perniagaan.

Kerajaan turut memperuntukkan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita, dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Skim seumpama itu pernah diperkenalkan dalam Belanjawan sebelum ini menerusi nama berbeza, namun peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2020 membuktikan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan daya saing usahawan wanita dalm bidang ekonomi.

3. #WanitaKerja (Women@Work)

Inisiatif #WanitaKerja diharap dapat memastikan wanita bergelar ibu kekal dalam pasaran kerja, selain menggalakkan wnaita yang berhenti untuk kembali bekerja. Gambar hiasan/NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Inisiatif #Wanita Kerja (Women@Work) diperkenalkan sebagai sebahagian daripada #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) yang akan dilancarkan bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk belia dan wanita sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Selain #WanitaKerja, inisiatif #MalaysiaKerja turut membabitkan tiga program iaitu #GraduanKerja (Graduates@Work),  #WatanKerja (Locals@Work) dan #PerantisKerja (Apprentice@Work).

#WanitaKerja akan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan dalam setahun untuk wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.

Di samping itu, wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun dengan pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan selama empat tahun sehingga 2023, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

4. Program i-Suri

Program i-Suri ditambah baik dengan memberi peluang kepada suami untuk menyumbang sebanyak dua peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Menerusi program i-Suri, kerajaan juga bercadang menambah manfaat membabitkan perlindungan keselamatan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta mulai 2020.

Inisiatif itu dilihat mengiktiraf kerja rumah tangga sebagai sebahagian daripada sektor pekerjaan dengan memberi pelbagai manfaat PERKESO kepada wanita yang tidak bekerja.

5. Insentif Kesuburan

KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang ingin menjalani rawatan kesuburan seperti kaedah kesuburan in-vitro (IVF).

Menerusi Insentif Kesuburan itu, rakyat akan menikmati pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 untuk perbelanjaan rawatan perubatan merangkumi kos rawatan kesuburan.

Inisitif terkini itu bagi menangani kadar kesuburan di Malaysia yang didapati menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada tahun 1970-an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita iaitu di bawah paras penggantian ketika ini.

6. Cuti bersalin

Ramai wanita bimbang memikirkan bayi yang bakal dilahirkan, justeru tambahan cuti bersalin sehingga 90 hari pastinya berita gembira. Gambar hiasan/NSTP

Berita baik bagi bakal ibu apabila kerajaan mengumumkan tambahan daripada 60 hari kepada 90 hari cuti bersalin bagi wanita mulai tahun 2021.

Meskipun pengumuman itu disambut baik ramai wanita, beberapa pihak melihat penambahan itu akan hanya menjadi liabiliti kepada wanita apabila majikan mungkin kurang berminat untuk mengambil wanita sebagai pekerja.

Bagi menangani masalah berkenaan, ada juga yang berharap kerajaan turut memperkenalkan insentif tambahan kepada majikan terutama pada bulan ketiga dalam tempoh cuti bersalin.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 5 Apr 2022

“Bahasa Indonesia Lebih Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa,” – Menteri Indonesia Tolak Bahasa Melayu Jadi Bahasa Rasmi Kedua ASEAN

Menteri Indonesia turut bercadang untuk menggunakan Bahasa Indonesia sebagai bahasa perantaraan ASEAN.

Featured Tue, 10 May 2022
Featured Sun, 1 Oct 2023

Konsert Setengah Lima Menuju Senja Parade Hujan X Sore Berjaya Buai Hampir 5,000 Peminat Malaysia!

Terbaik! konsert ni min memang kena hadir❤️‍🔥❤️‍🔥❤️‍🔥

Drama Fri, 3 Mar 2023
Featured Fri, 5 May 2023

Individu Kritik Puteri Sarah Ambil Gambar Duduk Mencangkung Seperti Ira Kazar, Ini Respons Empunya Badan

Alamakkkk! Fake akaun mana tuuu 👀🤣 Puteri Sarah palingg lawooo 🔥

familuv Thu, 17 Oct 2019

Ini cara kreatif untuk memupuk minat membaca terhadap anak-anak

Rangsang anak membaca dengan cara mudah!

Featured Wed, 16 Feb 2022

Gara-Gara Darah Haid Tak Stop 2 Bulan, Wawa Zainal Buang Alat Cegah Kehamilan

Yelah, siapa pernah kena memang rasa tak selesa sangat

Featured Wed, 18 Mar 2020

Maya Matahari meninggal dunia akibat kanser

Dikatakan merahsiakan penyakit yang dihidapi

Featured Tue, 13 Jun 2023
Featured Wed, 25 Oct 2023