Featured By: Fadzlena Jafar December 16, 2019 @ 10:34pm

Kisah hidup Tengku Permaisuri Norashikin dibukukan

Perkahwinan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang ketika itu penyampai berita utama Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 31 Ogos 2016 mengejutkan semua pihak kerana tiada desas-desus mengenai hubungan baginda sebelum itu.

Lebih-lebih lagi sehari sebelum pengumuman perkahwinan baginda, Tengku Permaisuri Norashikin masih bersiaran di kaca televisyen dengan membaca berita utama di TV1.

Pengalaman baginda daripada seorang pembaca berita kepada kehidupan di istana sebagai Tengku Permaisuri Selangor kini dibukukan dalam buku mewah (coffee table book) bertajuk My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Pelancaran buku yang memaparkan kisah Tengku Permaisuri Norashikin pada permulaan hidup baginda di istana itu disempurnakan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, penerbitan buku berkenaan bukan sahaja perkongsian mengenai pengalaman baginda di istana, tetapi juga adat istiadat dan sejarah Kesultanan Selangor.

“Buku ini sebenarnya bertujuan untuk berkongsi pengalaman saya menempuhi pelbagai pengalaman baharu buat pertama kali, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat di dalam Balairung Seri.

“Namun lebih menarik, tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah pada majlis pelancaran buku mewah berkenaan di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, sebentar tadi.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bertitah pada majlis pelancaran buku baginda My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor. Gambar NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Turut berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Yang turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bersempena dengan pelancaran buku itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, sebahagian daripada jualan buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor itu akan disumbangkan bagi kempen Stray Free Selangor.

Buku yang julung kali diterbitkan itu berkisar mengenai pengalaman peribadi baginda pada tahun pertama di istana termasuk mempelajari protokol ketika majlis rasmi di istana selain mendekati rakyat jelata menerusi tugas rasmi selaku Tengku Permaisuri Selangor.

Tengku Permaisuri Norashikin menunjukkan gambar eksklusif yang dipaparkan dalam buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor pada majlis pelancaran buku berkenaan sambil diperhatikan Dr Norely.  Gambar NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Buku mewah yang ditulis kakak baginda, Datin Dr Norely Abd Rahman itu turut memaparkan gambar peribadi Tengku Permaisuri Norashikin yang tidak pernah disiarkan dalam mana-mana media termasuk gambar eksklusif majlis pernikahan baginda.

Antara lain baginda turut berkongsi luahan hatinya yang pada awalnya berbelah bahagi untuk menerbitkan buku terbabit, namun akhirnya bersetuju dengan harapan buku berkenaan dapat memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dirinya dalam mempelajari kehidupan baharu di istana.

“Hidup ini adalah mengenai pembelajaran. Saya gembira untuk berkongsi dengan semua mengenai cabaran yang saya lalui sepanjang mempelajari peranan baharu ini. Saya berharap pengalaman dan perkongsian mengenai tingkah laku saya yang ‘melanggar adat’, menunjukkan bahawa tidak mengapa untuk membuat kesilapan, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana mempelajari daripada kesilapan itu.

“Buku ini diharap dapat menyebarkan mesej positif dan menegaskan bahawa saya hanya seorang insan biasa dan tidak sempurna dalam apa cara sekali pun,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin pada sesi menandatangani buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor sambil dikelilingi wakil media. Gambar NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Sementara itu, Dr Norely berkata, beliau mendapat ilham untuk menulis mengenai Tengku Permaisuri Selangor  bagi berkongsi pengalaman baharu adiknya yang unik berdasarkan kisah sebenar yang dilalui sepanjang tahun pertama di istana.

“Saya sering memberitahu anak murid saya supaya menulis tidak kira mengenai apa sahaja, tetapi saya terfikir saya sendiri tidak pernah menghasilkan sebuah buku. Ketika saya mencari-cari apakah subjek kepada buku yang dirancang, saya terfikir mengapa tidak menulis mengenai adik saya sendiri, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Meskipun pada awalnya, reaksi baginda agak berbelah bahagi kerana bimbang akan maklum balas masyarakat, tetapi akhirnya baginda bersetuju untuk merakamkan pengalaman baginda yang tidak ternilai itu dalam sebuah buku,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah Amerika di Dubai.

Beliau mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan buku berkenaan berikutan kekangan masa antara tugas beliau sebagai guru dengan kesibukan Tengku Permaisuri  Norashikin dalam menghadiri pelbagai majlis.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan menandatangani buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor yang dibeli pembaca pada majlis pelancaran buku berkenaan di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Gambar NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Begitupun, beliau akui pelbagai cabaran untuk menerbitkan buku yang penuh bersejarah itu berbaloi apabila melihatkan hasilnya, terutama apabila menerima maklum balas positif orang ramai.

“Selain kekangan masa, cabaran lain adalah untuk memastikan buku ini dihasilkan dengan sempurna berdasarkan peristiwa sebenar dan tidak ditokok tambah seperti yang dibincangkan dengan baginda.

“Sebelum mula mengumpul maklumat, saya dan baginda mengadakan perbincangan bagi memilih penceritaan bagi setiap bab. Baginda seorang yang teliti, malah sejak kecil baginda seorang yang amat teratur. Oleh itu, buku ini dihasilkan berdasarkan idea baginda sendiri.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Selangor yang bukan sahaja memberi persetujuan untuk menerbitkan buku ini, tetapi juga menyumbang idea dalam penghasilan My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor,” katanya.

Buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor hanya dicetak sebanyak 1,500 naskhah dan dijual pada harga RM160. Gambar NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mencetak semula buku berkenaan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan termasuk mengambil kira untuk dicetak dalam bahasa Melayu.

Buku My First Year Journey from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor dijual pada harga RM160 dan dicetak dalam 1,500 naskhah. 

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Fri, 26 May 2023
Featured Tue, 31 Jan 2023
Featured Thu, 29 Sep 2022

Azrel Ismail Pernah Dicurangi, Kini Pilih Untuk Curang?

Eh pilih untuk curang? Kenapa pulak tu? 🙀

Featured Fri, 19 Aug 2022

Instagram Dibanjiri Ucapan Tahniah, Ramai Bangga Syamsul Yusof Terima Lamaran Pembikinan Filem Epik Cecah Ratus Juta Ringgit

Fuhhh, tak sabar rasanya nak tengok hasil mantap Syamsul Yusof buat filem epik sejarah Melaka! Alhamdulillah rezeki buat keluarga tersayang kann 🤩☺️☺️

Featured Wed, 16 May 2018

Jurusolek Kim Kardashian Kongsi Tip Untuk Hilangkan Rupa Kedutan Di Bahagian Mata

Tiada siapa boleh elakkan wrinkles daripada muncul, tapi anda masih boleh “selamatkan” rupa anda.

Featured Fri, 5 May 2023