Euforia Bola 2026
Hiburan By: Padin June 4, 2026 @ 7:08pm

Mahu Luaskan Pengaruh Muzik Di Malaysia, Ryzall Noh Pertaruh Natijah Cinta

Penyanyi berasal dari Singapura, Ryzall Noh, kembali mewarnai industri muzik menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Natijah Cinta. Lagu tersebut menjadi kesinambungan perjalanan seninya selepas memilih untuk bergerak sebagai artis solo.

Sebelum memulakan kerjaya solo, Ryzall dikenali sebagai vokalis kumpulan Audionauts yang aktif antara tahun 2010 hingga 2017. Sepanjang tempoh itu, kumpulan tersebut berjaya meraih pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura sebanyak dua kali serta Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015.

Menurut Ryzall, perkataan natijah membawa maksud hasil, kesimpulan atau akibat daripada sesuatu peristiwa yang berlaku.

“Lagu ini mengisahkan perjalanan sebuah hubungan apabila janji dan harapan yang dibina bersama mula berubah dan runtuh sedikit demi sedikit tanpa disedari. Ia bukan sekadar berkisar tentang cinta, tetapi juga mengenai kekecewaan, kehilangan serta penerimaan terhadap perubahan sikap manusia.

“Saya percaya ramai yang pernah melalui situasi sebegini. Kadang-kadang individu yang paling rapat dengan kita akhirnya menjadi seseorang yang terasa begitu jauh dan asing,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai karya tersebut, Ryzall mengakui tertarik dengan kekuatan melodi dan lirik Natijah Cinta, sekali gus mendorongnya memberikan komitmen penuh sepanjang proses rakaman.

“Apa yang paling saya gemari ialah melodinya yang mudah melekat di fikiran serta bahagian korus yang cukup kuat. Dari segi susunan muzik, lirik dan emosi, semuanya hadir dengan rasa yang jujur dan dekat dengan pendengar.

“Saya mahu mengekalkan elemen yang asli dalam penyampaian lagu ini. Pendengar juga akan dapat merasakan gabungan pop rock bersama sentuhan bunyian era 90-an yang diolah dengan pendekatan moden,” ujarnya.

Dalam usaha menghasilkan karya terbaik, Ryzall mengakui proses rakaman bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak aspek perlu diberi perhatian bagi memastikan hasil akhir memenuhi standard yang diinginkan.

“Cabaran terbesar adalah mencari emosi dan perasaan yang tepat ketika merakamkan lagu ini. Selain itu, pengurusan masa, penjagaan kesihatan serta memastikan tona suara berada pada tahap terbaik juga antara perkara yang saya beri perhatian.

“Saya sangat teliti apabila melibatkan emosi dalam nyanyian kerana tidak mahu lagu ini kedengaran terlalu teknikal sehingga hilang jiwanya. Proses rakaman turut melalui pelbagai eksperimen dari segi susunan muzik dan pencarian tona vokal yang paling sesuai. Saya berharap segala usaha tersebut dapat dirasai oleh pendengar,” katanya.

Ryzall turut meluahkan rasa puas hati terhadap kerjasama bersama Yazri Malik yang turut bertindak sebagai komposer lagu berkenaan. Katanya, Yazri memahami sepenuhnya hala tuju muzik dan emosi yang ingin diketengahkan dalam karya tersebut.

Menurutnya lagi, proses menghasilkan Natijah Cinta berjalan lancar kerana kedua-duanya sentiasa bertukar pandangan dan idea bagi mencipta identiti tersendiri untuk lagu tersebut.

Pada masa sama, Ryzall berharap single terbaharu itu mampu membuka lebih banyak ruang untuk memperluaskan pengaruh muziknya di Malaysia.

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni saya. Saya juga sering berulang-alik ke Kuala Lumpur dan Johor, jadi hubungan dengan pendengar di sini memang cukup dekat.

“Saya berharap Natijah Cinta dapat menjadi jambatan untuk memperkenalkan muzik saya kepada lebih ramai pendengar di Malaysia. Apa yang paling penting, saya mahu lagu ini diterima dengan hati yang terbuka tanpa mengira latar belakang atau negara. Bagi saya, lagu ini ibarat sebuah kisah patah hati yang diterjemahkan dalam bentuk muzik,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Ryzall merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selama ini.

“Saya amat menghargai setiap sokongan, masa dan pandangan yang diberikan oleh peminat di Malaysia. Kepada yang baru mengenali saya, saya berharap muzik yang saya hasilkan dapat menemani perjalanan hidup anda.

“Terima kasih kerana terus memberi sokongan dan kepercayaan. Insya-Allah, lebih banyak karya baharu akan saya tampilkan selepas ini. Saya sayang anda semua, terutama peminat di Malaysia,” katanya.

Natijah Cinta kini boleh distrim menerusi pelbagai platform digital termasuk Spotify dan YouTube.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Mon, 7 Apr 2025
Hiburan Wed, 8 Apr 2026

“Pilih Kata-Kata Dengan Penuh Berhati-Hati Kerana Ia Mencerminkan Niat Sebenar” – Nur Fazura

Nur Fazura mengingatkan orang ramai supaya lebih berhemah ketika menyuarakan pandangan.

Hiburan Thu, 23 Apr 2026

Cromok & Barbarik Bergabung Dalam Konsert ‘Black On White’, Janji Pengalaman Luar Biasa

Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun ini.

Featured Tue, 16 Feb 2021
Hiburan Tue, 14 Aug 2018

Al- Fatihah, Tiada Lagi Opie Panji …

Allahyarham yang berusia 48 tahun itu dikejarkan ke HTAA 4 Ogos lalu selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Indera Sempurna sebelum dirawat di hospital itu.

Hiburan Thu, 8 Aug 2019

It’s A Boy…Tahniah Shima Anuar Timang Anak Kedua!

Alhamdulillah…tahniah Shima Anuar & suami!

Trending Thu, 7 Oct 2021

Akim & Stacy Tubuhkan Kumpulan DUNYA

Tidak dinafikan sepanjang tempoh hampir dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, industri hiburan tempatan terutama arena muzik sunyi. Tidak banyak perkembangan baharu dilihat. Enggan terus dibelenggu kesepian, penyanyi Akim Ahmad dan Stacy menerusi syarikat rakaman […]

error: Content is protected !!