Categories: Acarafamiluv

Partners in Parenting: Inisiatif bantu ibu bapa muda jaga anak

Oleh Muhammad Amnan Hibrahim

Syarikat pengeluar produk penjagaan ibu dan bayi, Tollyjoy Corporation melancarkan platform pendidikan, Partners in Parenting bersempena dengan sambutan Hari Bayi Tollyjoy 2019 menerusi kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Jaya One dan Yayasan OrphanCARE (OrphanCARE).

Platform yang menemukan pakar dan ibu bapa untuk saling berkongsi pandangan, pengalaman dan pengetahuan dalam soal penjagaan bayi dan kanak-kanak itu bermatlamat untuk membantu ibu bapa muda dalam menjalani kehidupan baharu bersama-sama anak mereka.

Timbalan Pengarah PPAS, Suzliana Abdul Hamid, berkata kerjasama antara Tollyjoy dengan PPAS Jaya One itu diharap dapat memperluaskan peranan PPAS sebagai pusat sehenti dalam menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Sesi bengkel bulanan ‘Partnership in Parenting’ akan diadakan di PPAS Jaya One, Petaling Jaya.  NSTP/ROSELA ISMAIL.

“Selain menyediakan buku-buku keibubapaan, kami turut berharap agar PPAS dapat menjadi tempat melaksanakan aktiviti pertukaran maklumat dan pengalaman membabitkan penjagaan bayi berlaku, bersesuaian dengan inisiatif Tollyjoy.

“Sehubungan itu, program Partners in Parenting ini selari dengan matlamat untuk mempromosikan perpustakaan sebagai tempat yang boleh dijadikan sebagai rumah kedua, pusat pembelajaran, pertemuan, rekreasi dan pembangunan keinsanan.” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Bayi Tollyjoy 2019 yang berlangsung di PPAS Jaya One, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pelancaran sambutan Hari Bayi Tollyjoy 2019 dan juga ‘Partners in Parenting’ dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Yang turut hadir ialah Pengarah Tollyjoy Corporation, Mark Tan dan juga Ketua Pegawai Operasi OrphanCARE, Yuzila Yusof.

Hari Bayi Tollyjoy merupakan sambutan khas yang diperkenalkan oleh Tollyjoy Corporation untuk meraikan kehadiran bayi dan perjalanan ibu bapa dalam membesarkan si kecil.

 

Hannah Yeoh (tiga dari kiri) merasmikan program Partners in Parenting bersama Mark Tan (tiga dari kanan) di PPSA Jaya One. Gambar NSTP/ROSELA ISMAIL.

 

Sejak Hari Bayi Tollyjoy diperkenalkan pada tahun 2015, Tollyjoy Corporation turut bekerjasama dengan OrphanCARE, badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan tempat perlindungan dan penjagaan buat bayi-bayi yang dilahirkan oleh ibu muda yang belum berkahwin serta kanak-kanak yang tinggal di pusat penjagaan.

Menerusi kerjasama itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk perbincangan dan perkongsian cara terbaik bagi mendidik ibu bapa menerusi topik keibubapaan seperti tidur, pemakanan, kesihatan mental dan menangani kemurungan selepas bersalin.

Suzliana berkata, PPAS sentiasa mengalu-alukan kerjasama ddengan pihak luar dalam menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pengunjung perpustakaan itu yang terdiri daripada pelbagai golongan.

“Antara acara pembelajaran yang pernah dilangsungkan di PPAS adalah Pengurusan Kewangan untuk Kanak-kanak, Hari Sains Sedunia, Persembahan Drama Romeo dan Juliet dan acara kesenian serta kartun bagi program percutian untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Untuk orang dewasa pula, terdapat beberapa bengkel yang dilangsungkan di PPAS, antaranya adalah bengkel keusahawanan, perkembangan minda dan bercerita yang dibuat khusus untuk ibu bapa. Di samping itu, terdapat juga aktiviti pengucapan awam yang dianjurkan oleh The School of Hard Knocks Toastmaster Club,” katanya.

Sementara itu, Yuzila berkata, penyertaan pihaknya dalam Partners in Parenting adalah sebahagian daripada inisiatif yang diharap dapat memperluaskan lagi peranan OrphanCARE untuk berkongsi ilmu dengan ibu bapa yang memerlukannya.

Yuzila Md Yusof ketika ditemu bual pada majlis pelancaran Partners in Parenting di PPSA Jaya One. NSTP/ROSELA ISMAIL.

“Pengalaman kami dalam berurusan dengan ibu-ibu muda yang datang ke OrphanCARE sekurang-kurangnya mampu membantu ibu bapa terutama yang masih muda dalam membuat persediaan diperlukan dalam fasa baharu kehidupan mereka.

“Sehubungan itu, kami akan berkongsikan maklumat dan juga pengalaman menerusi aktiviti bengkel bulanan yang akan diadakan sepanjang berlangsungnya insiatif Partners in Parenting ini,” katanya.

Pada sesi Partners in Parenting itu, dua selebriti berpengaruh dalam media sosial dan bapa sepenuh masa iaitu, Ben Ashaari turut berkongsi pengalamannya ketika memulakan kehidupan sebagai bapa sepenuh masa, manakala Alan Oh menceritakan pengalamannya sebagai ‘bapa berpantang’ ketika berusaha belajar mengenai amalan berpantang serta menjaga isterinya sepanjang tempoh pantang.

Alan Oh, (kanan) bersama isteri Chai Phei, (kiri) dan tiga anaknya Matthew Oh (enam tahun), Hannah Oh (lima tahun) serta Jonathan Oh (lima bulan) berkongsi pengalaman pada majlis pelancaran Partners in Parenting. Gambar NSTP/ROSELA ISMAIL.

Pelbagai lagi topik akan dibincangkan menerusi acara Partners in Parenting merangkumi topik sebelum dan selepas kehamilan, kesihatan bayi dan anak kecil, serta cara untuk mengimbangi tugas sebagai ibu bapa selepas proses kehamilan.

Kesemua sesi akan berlangsung di PPAS, Jaya One. Bagi maklumat lanjut berkenaan sesi ‘Partners in Parenting,boleh melayari http://on.fb.me/ZflMUn dan https://www.instagram.com/tollyjoymalaysia.

tex_admin