Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Pontianak 100KG’

Biasanya, bila menggambarkan hantu, mesti sama sahaja butir-butir yang dijelaskan. Kurus, berambut panjang dan menyeramkan adalah antara yang paling biasa.

Namun, dalam siri original Tonton yang terbaharu, pontianak yang ‘mengganas’ di sebuah kampung ini mempunyai sedikit kelainan. Pontianak ini berbadan besar dan beratnya mencecah 100KG. Maka, tidak hairanlah kisah ini berjudul ‘Pontianak 100KG.’

Watak pontianak ini dibawa oleh Aya Amiruddin. Dia sering mengganggu penduduk kampung di waktu malam untuk mencari makanan. Pontianak ini jenis yang tidak fikirkan orang belakang. Habis semua makanan dimakannya. Perkara ini amat merunsingkan.

Penduduk kampung yang diketuai oleh Pak Bayang (dilakonkan oleh Kazar Saisi) buntu dalam menyelesaikan isu ini. Dharma (dilakonkan oleh Mathni Razak), Salleh (dilakonkan oleh Mark Adam) dan Malik (Wanns Ahmad) adalah pemuda-pemuda kampung yang tidak membantu langsung. Sewaktu perbincangan bersama, mereka ini langsung tidak memberi sumbangan idea bernas.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membanteras masalah ini, tiada yang berkesan. Pontianak itu masih berkeliaran serta berleluasa di kampung itu.

Kehadiran Jibam (dilakonkan oleh Ady Mohammad) yang lebih proaktif berbanding pemuda lain memberi sinar kepada Pak Bayang. Namun, ia juga mencetus konflik lain.

Persoalan besarnya adalah mampukah penduduk kampung ini menyelesaikan masalah serangan Pontianak 100KG?

Cerita Apa? ‘Pontianak 100KG’
Di Mana? Strim Eksklusif di Tonton

Afiqah Azizan