Categories: Eat Travel

Beza marjerin dan mentega, mana yang lebih sihat?

Marjerin dan mentega, dua bahan yang sering digunakan dalam masakan. Bagi yang baru berjinak-jinak di dapur, mungkin ada yang keliru atau sukar membezakan antara marjerin dan mentega.

Marjerin diperbuat daripada sumber tumbuh-tumbuhan iaitu minyak sayuran, manakala mentega adalah produk tenusu yang diperbuat daripada lemak haiwan.

Mentega mempunyai warna yang lebih pucat daripada marjerin dan ia perlu disimpan di dalam peti sejuk kerana teksturnya yang lembut serta cair pada suhu bilik. Marjerin pula boleh disimpan di luar tanpa memasukkannya ke dalam peti ais kerana teksturnya yang tidak berubah.

Dari segi masakan pula, marjerin sangat sesuai untuk menghasilkan biskut, kek dan kuih tradisional, manakala mentega sedap untuk memasak makanan Barat, masakan goreng seperti udang mentega, sapuan pada roti dan bahan untuk membuat kek serta pastri.

Kredit gambar: Healthline

Menyentuh mengenai kandungan, kedua-dua bahan itu mempunyai kebaikan dan kelemahan masing-masing, bergantung pada cara serta jumlah pengambilannya.

Sesetengah marjerin diperkaya dengan kandungan phytosterols dan stanols. Phytosterols boleh membantu mengurangkan kolesterol jahat, tetapi ia juga mungkin mengurangkan kolesterol baik dalam badan.

Selain itu, marjerin juga mengandungi lemak tidak tepu yang boleh membantu mengurangkan kolesterol jahat dalam tubuh apabila digunakan. Lemak tidak tepu adalah sejenis lemak yang sihat dan mampu mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung.

Memandangkan minyak sayuran tidak bertukar menjadi pepejal pada suhu bilik, saintis makanan menukarkan struktur kimia dalam minyak sayuran agar ia boleh menjadi pepejal dalam suhu bilik.
Proses itu dikenali sebagai hidrogenasi yang membabitkan proses pendedahan minyak pada haba dan tekanan yang tinggi, gas hidrogen serta pemangkin logam. Akibat proses itu, sesetengah lemak tidak tepu yang terdapat dalam minyak sayuran bertukar menjadi lemak tepu.

Hasil daripada proses hidrogenasi juga menyebabkan kemunculan bahan sampingan dalam marjerin iaitu lemak trans. Walaupun diketahui mengandungi nutrien yang baik untuk jantung, marjerin juga mengandungi kandungan lemak trans yang sering dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan penyakit kronik yang lain.

Kredit gambar: Reader’s Digest

Sementara itu, mentega pula kaya dengan kandungan vitamin seperti A, E, K serta Omega-3. Mentega yang dihasilkan daripada susu lembu yang diberi makan rumput adalah lebih bernutrisi berbanding jenis yang lain.

Bagaimanapun, mentega diketahui turut mengandungi lemak tepu dan kolesterol yang tinggi. Mentega mengandungi 50 peratus kandungan lemak tepu, manakala bakinya adalah kandungan air dan lemak tidak tepu, jadi ia berisiko untuk kesihatan jantung.

Kesimpulannya, jika anda ingin mencari jenama marjerin yang baik, pilihlah jenama yang tidak mengandungi lemak trans atau hanya mengandungi sedikit lemak trans sahaja. Jika ingin menggunakan mentega, hadkan penggunaannya dalam pemakanan harian anda.

Kredit sumber: Hello Doktor

Ad Ops