Categories: familuv

10 ungkapan yang anda perlu kerap ucapkan kepada anak

Sebagai seorang ibu atau bapa, bukan sahaja perbuatan anda yang akan memberi impak kepada anak, tetapi kata-kata yang keluar dari mulut juga boleh memberi kesan.

Kadangkala kita terlalu sibuk hingga kita lupa akan betapa pentingnya peranan ibu bapa dari aspek ini.

Bagi memastikan anak anda dapat membesar dengan jati diri yang kuat serta keperibadian yang utuh, anda perlu rajin memberikan kata-kata positif kepadanya.

Hal ini bukan saja boleh meningkatkan keyakinan diri dan semangatnya, tetapi juga membuatkannya rasa lebih disayangi.

Jika anda jarang mengucapkan kata-kata yang boleh merangsang minda anak secara positif, mulakannya hari ini!

Di bawah ini adalah 10 ungkapan penting yang anda perlu ucapkan demi tumbesaran anak anda.

1. “Walaupun kita selalu bergaduh, ibu tetap sayangkan kamu”

Sebarang pergaduhan boleh mengguris hati anak, jadi anda perlu ingatkannya yang rasa sayang anda terhadapnya tidak berubah.

2. “Terima kasih sebab tolong ibu.”

Foto: youngparents

Kata-kata ini penting untuk mengasah sifat ringan tulangnya. Apabila dia tahu pertolongannya dihargai, lagilah dia ingin menolong bukan sahaja anda tapi orang lain juga.

 

3. “Kakak kamu sangat sayangkan kamu, tahu tak?”

Adik-beradik pun selalu bergaduh, kadangkala yang muda boleh berkecil hati. Ingatkan dia yang kakak atau abangnya tetap sayangkannya.

4. “Ibu tahu kamu sudah buat yang terbaik.”

Jangan beri harapan yang terlalu tinggi kepada anak, tetapi bila dia tidak mampu melakukan sesuatu perkara itu, anda memarahinya pula. Terima sahaja kenyataan dan beri sokongan kuat supaya dia tidak putus asa.

5. “Wah, cantiknya lukisan kamu!”

Foto: theAsianparents

Tidak kiralah hasil kerjanya menarik atau tidak, katakan sahaja yang dia telah berjaya melukis sesuatu yang bagus. Ini akan menambahkan minatnya untuk meneruskan usahanya dalam bidang ini.

6. “Hebat anak ibu!”

Walaupun anak anda banyak kerenah, berikan pujian terutama ketika dia melakukan sesuatu perkara yang tidak dijangka, seperti mengayuh basikal tanpa sebarang bantuan orang dewasa.

Pujian ini juga boleh menaikkan keyakinan dirinya.

7. “Maafkan ibu, ya. Ibu yang salah.”

Ramai ibu bapa jarang mengaku yang mereka salah apabila bertengkar dengan anak mereka. Bukan dia sahaja yang selalu perlu memohon keampunan. Bila anda sendiri yang buat salah, anda perlulah meminta maaf.
Jika anda tidak bersifat ego dan sentiasa jujur, nescaya anak anda juga akan membesar sebegitu.

8. “Tolong buatkan untuk ibu.”

Jika anda ingin anak anda membesar dengan perilaku yang sopan, anda perlulah selalu gunakan perkataan “tolong”.

9. “Ibu tidak akan ubah fikiran.”

Sebagai seorang ibu atau bapa, anda harus tegas apabila menguatkuasakan sesuatu peraturan itu. Jangan mudah lembut hati!

10. “Ibu suka kamu ada di sisi ibu!”

Foto: watsupptoday.com

Senang sahaja. Beritahu anak anda yang anda menghargainya kewujudannya dalam diri anda.

Sumber: theAsianparent

Ad Ops