Categories: familuv

Anda Wajib Baca Artikel Ini Terutamanya Jika Anda Datang Dari Broken Family

Penulis tertarik membaca coretan pengalaman seorang doktor wanita bernama Nadiah Yusof dengan pesakitnya.

Meskipun kisah ini terjadi sembilan tahun yang lalu, namun segalanya masih segar di dalam ingatannya.

Ia berpusar tentang pengalaman Nadiah semasa menerima pesakit yang mempunyai latar belakang akedemik yang cemerlang namun tersungkur akibat dadah.

Setiap kali membaca kes pembunuhan yang dilakukan oleh individu berstatus penagih dadah misalnya kes remaja yang membakar tahfiz, ia pasti mengingatkan Nadiah kepada kejadian 8 tahun lepas di mana dia ketika itu masih seorang staf pelatih.

Bertugas di salah sebuah hospital kerajaan, Nadiah menerima seorang pesakit berusia awal 20-an yang ditetak dengan parang di kedua-dua belah tangannya. Kira-kira tak lebih daripada 10 kesan luka tetakan yang dalam. Pesakit itu datang bersama-sama sepasukan anggota polis dalam keadaan separuh sedar.

Kata Nadiah di dalam coretannya di laman Facebook, luka seperti itu pertama kali dilihatnya sehinggakan dia sendiri berasa debar untuk mengendalikan pesakit berkenaan.

Menurut hasil maklumat dari pihak polis, pemuda itu ditangkap setelah merompak dan membunuh 3 orang penghuni sebuah rumah, iaitu seorang wanita, anaknya yang berusia 3 tahun serta orang gaji keluarga mereka.

Malang sudah tertulis, belum sempat dia melarikan diri, suami si mangsa pulang ke rumah dan menangkapnya. Akibat amarah, si suami menetaknya dan orang kampung mencurah cuka pada lukanya sehingga menyebabkan separuh masak isinya.

“Saya lihat betul-betul wajahnya. Sampai sekarang saya masih boleh ingat wajahnya. Orangnya masih muda, wajah putih bersih tak nampak seakan penjenayah. Janggut sejemput seperti seorang ustaz layaknya.

“Benarlah kata orang, jangan menilai orang dari rupa luaran. Pesakit ini rupa-rupanya penagih dadah. Malah, sebelum pecah masuk dia sempat menelan 16 biji pil ekstasi. Dalam keadaan tidak sedar, dia membunuh semua yang berada di rumah. Malah anak kecil berusia 3 tahun itu ditemui di dalam bilik air dalam keadaan perut terburai.

“Bila masuk ke ward, social history pemuda ini yang lebih terperinci didapati. Kisah hidup anak muda ini tragis. Dia adalah pelajar cemerlang (10A) di dalam SPM. Malah ditawarkan jurusan perubatan.

“Tetapi dia terkesan dengan perceraian kedua ibu bapanya. Dia tidak dipedulikan, maka dia menentukan hidupnya sendiri. Dia berhenti belajar dan terlibat dengan najis dadah.

“Ketika dia dimasukkan ke hospital tak ada seorang pun ahli keluarganya kelihatan. Malah pihak hospital mengalami masalah mendapatkan maklumat dari ahli keluarganya.

“Ada nombor telefon yang diberikan tetapi tidak mengaku mempunyai pertalian dengannya. Malah tiada siapa yang melawatnya di hospital,” kata Nadiah yang kini bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Foto: El Diario

Bicara Nadiah lagi, kisah anak muda itu selalu dia ceritakan pada ramai kenalannya untuk mengingatkan betapa durjananya najis dadah. 

Walaupun pesakit itu bekerja, dia tak mampu menanggung desakan ketagihan dadah. Dalam masa dua hari, gaji sebulan habis untuk membeli dadah. Apabila sumber wang untuk membeli dadah habis, apa lagi? Terpaksalah mencuri. Natijahnya terpalit pada insan tak berdosa.

Katanya lagi, 90% (anggaran kasar & personel) daripada kes rogol, sumbang mahram, sodomy serta kes dadah terhasil akibat keluarga yang porak-peranda. 

“Ketika ini, lihat di mana anak-anak kita berada dan dengan siapa mereka berkawan. Jika selama ini kita tak pernah peduli, mulakanlah sekarang.

“Periksa diri kita sebagai ibu bapa. Kita adalah acuan mereka. Jika hasil tidak molek, maknanya acuannya yang tak kena. Berhentilah menyalahkan orang lain, dan sebaliknya berlapang dada untuk memperbaiki diri kita.

“Sikap kita juga mesti diperbaiki. Hentikan sikap menghukum. Sejahat manapun seorang manusia, Allah membuka ruang untuk hambanya bertaubat. Siapalah kita untuk menentukan syurga neraka seorang manusia. Boleh jadi mereka yang kita cerca itu adalah lebih mulia daripada kita jika mereka bertaubat nasuha,” katanya.

Foto: menara.my

Sambung wanita yang enggan wajahnya didedahkan, tiada siapa yang berani mendekati pesakit itu mungkin kerana perbuatannya atau mungkin kerana terlalu ramai anggota polis yang menggerumuninya.

“Saya masih ingat soalan yang ditanya ketika dia sudah sedar dari ‘high’. Selepas itu, barulah dia sedar yang dia telah membunuh 3 nyawa.

“Kenapa awak suap makanan pada saya? Saya pembunuh.”

“Sebab kamu manusia. Manusia buat silap. Kalau kamu bertaubat, boleh jadi kamu lebih mulia dari saya,” begitulah jawapan yang diberikan Nadiah kepada pemuda berkenaan.

Akui Nadiah ketika itu, hatinya berasa cukup sebak mengenangkan pemuda itu sebagai seorang yang hampir punyai masa depan gemilang. Malangnya kehidupakannya bakal berakhir di tali gantung kerana dadah yang berpunca daripada masalah keluarga.

Sumber: Facebook Nadiah Yusof

Yanie Baharom