Categories: familuv

Awas! Ini sebab kenapa ibu bapa tidak harus kongsi gambar & video anak buat perangai

Seiring perkembangan teknologi yang serba canggih, penggunaan media sosial juga menjadi medium komunikasi penting pada masa kini. Bagai menjadi aliran terkini, apa sahaja yang dilakukan pasti mahu dikongsi di media sosial.

Bagi yang masih bujang, gambar seperti outfit of the day atau OOTD, swafoto dan makanan hipster adalah antara perkara lazim yang sering dikongsi untuk tatapan pengikut media sosial mereka.

Sementara itu, bagi yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak, mereka gemar berkongsi gambar keluarga terutama keletah comel anak.

Kredit gambar: Parents

Tidak dinafikan rasa teruja melihat perkembangan anak membesar membuatkan setiap detik mahu dirakam serta dikongsi di media sosial dengan niat untuk disimpan sebagai kenangan.

Bagaimanapun, tidak semua gambar atau video selamat untuk dikongsi kepada umum, antaranya seperti gambar anak meragam, menangis atau buat perangan (tantrum). Mungkin berkongsi gambar sebegitu dianggap comel dan lucu oleh segelintir ibu bapa, namun tindakan itu sebenarnya memberi impak kepada kehidupan privasi anak.

Kredit gambar: Parents

Sebelum berkongsi gambar anak buat perangai atau menangis di media sosial, cuba letakkan diri sendiri di tempat anak. Adakah ibu bapa juga mahu perkara sama berlaku kepada diri sendiri?

Berikut adalah sebab yang dikongsi Hello Doktor kenapa ibu bapa tidak digalakkan berkongsi gambar anak tantrum di media sosial.

1. Memalukan anak

Menjadi tugas atau tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga dan memelihara aib anak. Bayangkan kesan jangka panjang daripada perbuatan ibu bapa berkongsi gambar anak buat perangai dan menangis.

Tambahan pula, segala yang dikongsi di Internet akan kekal dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja jika akaun media sosial tidak diprivasikan. Jika gambar itu dilihat oleh mereka ketika dewasa kelak dan mereka malu, ia boleh membuatkan mereka menjadi murung.

Kredit gambar: Schoolhouse Daycare

Situasi itu boleh dikatakan sebagai child-shaming atau memalukan anak, lebih kurang sama seperti body-shaming dan mungkin boleh menjejaskan hubungan antara ibu bapa dan anak.

2. Contoh tidak baik kepada anak

Jika si kecil sedang buat perangai, manakala ibu bapa pula sibuk mengambil gambar dan video anak menangis, bukankah itu satu contoh teladan yang tidak baik? Anak mungkin bertanggapan ibu bapa lebih pentingkan telefon berbanding dirinya sendiri.

Kredit gambar: The Sun

Ibu bapa seharusnya menenangkan anak dan bukan sibuk mengambil gelagat mereka mengamuk. Perkara itu akan membuatkan anak menangis dan menjerit lebih kuat. Tindakan itu sama sekali tidak bagus.

3. Tiada privasi

Kemunculan media sosial menyebabkan kebanyakan daripada kita berasakan setiap detik yang berlaku harus dikongsi dengan umum. Hakikatnya, tidak semua harus dikongsikan kerana ia mungkin akan disalah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Beri sedikit ruang peribadi kepada anak dan percayalah, mereka pasti akan menghargainya.

Kredit gambar: Key to Kids

Ingat, tidak semua perkara perlu dikongsikan bersama umum, terutamanya gambar anak membuat perangai. Cukuplah sekadar menjadikannya sebagai koleksi simpanan peribadi sendiri. Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab dan bijak demi kesejahteraan keluarga.

Ad Ops