Categories: familuv

Inilah kenapa anda tidak patut memberikan bayi anda air putih

Jika anda bakal menimang cahaya mata, ataupun baru sahaja melahirkan anak, pastinya anda sudah dibekalkan dengan pelbagai jenis maklumat mengenai penjagaan bayi.

Antaranya ialah bagaimana untuk menyusu bayi dan melatihnya untuk tidur, bila masa sesuai untuk hentikan penyusuan dan perbuatan apa yang perlu dielakkan. Macam-macam ada!

Tetapi ada satu risiko yang mungkin jarang dikongsikan, iaitu pemberian air putih kepada bayi.

Air mungkin tampak seperti minuman yang tidak membahayakan. Lagipun ia memang menyihatkan dan kita perlu minum sebanyak dua liter sehari.

Tetapi jika ia diminum oleh bayi, ia boleh menyebabkan mabuk air dan akhirnya mengakibatkan sawan dan koma. Jika keadaannya teruk, ia boleh membawa maut!

Adakah bayi memerlukan air?

Konsensus umum ialah bayi patut hanya minum susu hingga usia mereka mencecah sekurang-kurangnya enam bulan, dan jika keadaannya baik sahaja selepas diberi hirupan air sekali-sekala.

Bagaimanapun, menurut pakar diet Katie Zeratsky, bayi tak perlu minum air putih langsung hingga umurnya satu tahun.

Air putih, ya! Susu masih perlu diberikan kepadanya!

Ini adalah kerana bayi mendapat semua keperluan cecair menerusi susu ibu atau formula, kata Katie.

Peraturan untuk tidak memberikan air putih kepada bayi anda sebelum mereka berumur enam bulan memang patut dipatuhi. Dia hanya boleh minum susu ibu atau formula.

Foto: independent.co.uk

Kenapa ia merbahaya?

Susu badan dan formula mengandungi kesemua nutrien yang seseorang bayi itu perlukan seperti protein, vitamin, mineral, karbohidrat dan lemak.

Jika anda menggantikannya dengan air biasa, dia akan terlepas daripada pengambilan komponen nutrisi penting yang mereka perlukan untuk membesar.

Dan inilah sebabnya anda perlu bancuh susu formula dengan betul. Jangan terlebih air pula!

Bayi membesar dengan cepat, jadi keperluan mereka dari segi tenaga ialah lebih penting daripada keperluan orang dewasa.

Air putih sahaja tidak mampu untuk memenuhinya, walaupun ia mengenyangkan.

Bolehkah mabuk air membawa maut?

Ya, menurut Katie.

“Seseorang itu akan mengalami mabuk air setelah meminum terlalu banyak air dalam jangka masa pendek dan kadar sodium dalam darahnya jatuh mendadak. Akibatnya memang tragis.”

Sumber: Mirror.co.uk

Ad Ops