Categories: familuv

‘Pillow talk’ mampu hangatkan hubungan

Siapa pernah berada dalam situasi ini? Sebelum kahwin dulu, punyalah lama bergayut dengan teman lelaki kadang kala sehingga berjam-jam lamanya sebelum tidur dan rasa berat hati hendak letak telefon.

Tapi apabila sudah berkahwin, terutamanya yang berstatus ‘pengantin lama’ masuk saja bilik tidur jangankan tunggu pasangan, letak saja kepala atas bantal, zass! Terus dibuai bersama mimpi-mimpi indah.

Isteri atau suami, tidak sempat langsung untuk berborak atau kemaskini aktiviti seharian mahupun berkongsi perihal rancangan esok atau dalam masa terdekat. Takkan hendak dikejutkan pula, nanti tak pasal-pasal kena hempuk!

Hendak jadikan cerita, sentaplah pasangan kita tadi. Pagi esok, sahih tidak sempat untuk bersembang sebab masing-masing pun bergegas ke tempat kerja.

Jika dihantar mesej pesanan ringkas bimbang pasangan tidak sempat membacanya kerana sibuk atau mengundang salah faham pada sesetengah topik atau luahan yang ingin disampaikan kerana masalah intonasi.

Justeru tahukah anda, betapa pentingnya pillow talk bersama pasangan secara kerap atau lebih baik setiap hari untuk membina rumah tangga yang harmoni.

Menurut kajian ia bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan bahkan berasa tenang. Jom kita baca intipati seterusnya, tidak susah pun untuk memulakannya!

Foto: Baituljannah

Topik seperti apa yang sesuai dibincangkan? Contohnya :-

– Mengenai anak-anak. Masalah dan penyelesaian.

– Mengenai kerja. Luahan, kebimbangan, kegembiraan atau sekadar bercerita.

– Perhubungan. Masalah, motivasi, penghargaan, cinta. Perkara yang mengingatkan mengenai pasangan.

– Borak kosong. Angan-angan, lawak, cita-cita.

– Permintaan atau peringatan mengenai sesuatu perkara yang perlu dilakukan.

– Sesuai juga digunakan untuk memujuk atau menyatakan harapan.

Kadang-kala, Pillow Talk juga bagus untuk bertanya apa-apa kerana keadaan ketika itu yang selesa dan tenang. Contohnya :-

– Soalan mengenai pakaian yang pasangan suka lihat kita pakai. Selendang, baju, pakaian di luar atau di rumah, pun topik yang menarik sebenarnya.

– Soalan mengenai kekurangan diri yang boleh diperbaiki.

– Soalan mengenai benda yang disukai atau tidak disukai.

– Soalan tentang masa depan keluarga atau kerjaya.

Kenapa Pillow Talk ini penting?

  1. Mengakhiri hari dengan tenang dan baik
  2. Menjadikan perhubungan lebih terbuka.
  3. Memperbaiki komunikasi sesama pasangan. Keadaan yang gelap membantu untuk lebih terbuka.
  4. Menambah kemesraan sesama suami isteri.
  5. Mengurangkan tekanan.
  6. Meningkatkan kepercayaan terhadap pasangan.
  7. Mendalami hati pasangan. Kadang-kala pasangan malu untuk bercakap atau berterus terang semasa keadaan terang benderang.

Bagaimana untuk mula buat Pillow Talk jika tidak pernah buat sebelum ini?

Foto: Pillow Guy

– Baring bersama di katil atau tilam.

– Sangat sesuai jika dalam posisi cuddle. Lebih romantik!

– Lazimnya dilakukan sebelum tidur. Jangan tunggu sampai terlalu mengantuk. Nanti pasangan anda tidak fokus atau anda bermonolog sendirian.

– Bercakap sambil membelai atau memeluk pasangan amat digalakkan.

– Pejamkan mata dan berbicara dari hati.

– Berbual semasa anak sudah tidur untuk elakkan perbualan didengari mereka sekaligus sesi pillow talk diganggu oleh mereka.

Akhir kata, suami-isteri perlu sentiasa amalkan pillow talk! Kerana apa? Punca perceraian salah satunya disebabkan komunikasi bertentangan. Suami tidak faham isteri dan isteri tidak faham suami!

 

Yanie Baharom