Mahu Anak Ramai, Jom Doakan Untuk Siti Nurhaliza!

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhasrat untuk menambah anak sebelum memasuki usia 43 tahun.

Akui ibu kepada Siti Aafiyah, dia berdoa agar hasrat untuk menimang zuriat yang ramai dimakbulkan oleh Allah SWT.

“Saya memang suka anak yang ramai, namun hanya berpeluang merasai nikmat sebagai ibu ketika usia menghampiri 40 tahun.

“Dalam hal ini, saya berserah kepada ketentuan rezeki. Saya hanya mencuba yang termampu. Kalau kesihatan mengizinkan, saya berdoa sangat ia menjadi realiti sebelum usia 43 tahun.

“Saya bagaimanapun, perlu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan bagi memastikan fizikal saya benar-benar bersedia. Doakan saya!,” katanya kepada BH Online.

Tambah Siti, perjalanan hidupnya semakin indah selepas melahirkan Aafiyah.

Melihat anak perempuannya itu membesar di depan mata, membuatkan Siti berasa, masa berjalan terlalu pantas.

“Sesekali, sedih juga apabila dia membesar dengan pantas, pada masa sama saya teruja. Daripada bertatih, sekarang Aafiyah sudah boleh berjalan dan dia begitu seronok hingga tidak suka dipimpin.

“Momen sebegini sebenarnya agak menyentuh perasaan. Saya percaya semua ibu merasai perkara yang sama,” katanya.

SGMS Faida