Categories: familuv

Selepas bercerai, hak penjagaan anak kecil jatuh kepada suami atau isteri? Ini jawapannya..

Apabila berkahwin dengan individu pilihan hati, semestinya anda ingin bersama-samanya hingga ke hari tua.

Tetapi bukan semua pasangan suami isteri cukup bertuah. Ada mahligai yang dibina roboh kerana ketidakserasian atau masalah yang timbul.

Mangsa situasi ini bukanlah si suami atau isteri sahaja. Jika mereka mempunyai anak, si kecil itu akan turut menderita kerana sumber kasih sayangnya sudah berpisah.

Jadi sebagai ibu bapa, pasangan yang bercerai perlu memikirkan mengenai masa depan anak mereka.

Antara persoalan yang patut dipertimbangkan adalah antara ibu atau bapa, siapa yang berhak menjaga dan membesarkan cahaya mata mereka?

Ada yang berpendapat ibulah orang yang paling mutlak, tetapi adakah pendapat itu tepat?

Foto: MyLawyer

Hadhanah

Erti perkataan ini adalah hak menjaga dan mengasuh anak kecil dengan mendidik serta menanggung nafkahnya.

Hukum penjagaan anak diketahui melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr apabila seorang wanita berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

Wanita itu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, puting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya daripadaku.”

Nabi Muhammad SAW pun berkata kepadanya, “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah.”

Hadis ini diambil sebagai rujukan untuk menentukan pemberian hak penjagaan anak selepas ibu bapanya bercerai.

Hakikatnya, adakah ini bermaksud ibu yang paling berhak? Jawapannya adalah tidak! Di Malaysia, keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Jika si ibu yang diberi hak, beliau perlu memenuhi syarat berikut:

  • seorang Islam
  • sempurna akal
  • mampu memberi jagaan dan kasih sayang kepada anak
  • berkelakuan baik dari segi akhlak islamiah
  • mampu menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk anak

Foto: Best Legal Choices

Si ibu berpotensi untuk hilang hak penjagaan jika:

  • berkahwin lain dengan seseorang yang tiada pertalian darah dengan anaknya dan jika hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan si anak
  • berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
  • berpindah ke tempat lain dengan tujuan untuk menjauhkan anak daripada ayahnya
  • murtad
  • mengabaikan atau menganiaya anaknya

Jika Mahkamah Syariah menetapkan bahawa ibu tidak layak untuk menjadi penjaga tunggal bagi anaknya kerana melanggar peraturan di atas, jadi hak penjagaan akan jatuh kepada individu lain.

Tetapi bukan sesiapa sahaja yang layak!

Berikut adalah senarai individu yang diberi kuasa penjaga, mengikut susunan daripada paling layak ke paling tidak layak:

  • ibu
  • nenek atau moyang sebelah ibu
  • bapa
  • nenek atau moyang sebelah bapa
  • kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  • kakak atau adik perempuan seibu
  • kakak atau adik perempuan sebapa
  • anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  • anak perempuan daripada kakak atau adik seibu
  • anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa
  • ibu saudara sebelah ibu
  • ibu saudara sebelah bapa
  • waris lelaki yang boleh menjadi warisnya

Foto: Maryland Divorce Hub

Bolehkah anak menentukan siapa penjaganya?

Ya,anak boleh memilih penjaganya kerana pihak mahkamah akan mengambil kira keputusannya juga.

Syaratnya, anak itu perlu sudah mencapai baligh, dapat membezakan antara yang baik dan buruk, antara benar dengan salah serta mampu menjaga kebajikan diri sendiri.

Bagaimanapun, keputusan akhir yang menentukan masa depan anak masih menjadi hak mahkamah.

Jika anda masih tidak pasti dan ingin mendapatkan bantuan, rujuklah khidmat nasihat peguam anda.

Apa-apa pun, hak penjagaan anak akan dipertimbangkan secara telus oleh Mahkamah Syariah demi kesejahteraan anak-anak pasangan yang bercerai.

Sumber: theAsianparent

Ad Ops