Categories: familuv

Tanda-Tanda Awal Kehamilan Yang Mungkin Ramai Tidak Tahu

Memang tidak dapat dinafikan, semua orang sudah tahu tanda-tanda kehamilan lazimnya seperti tidak datang haid, mual-mual dan muntah ataupun pitam.

Tapi, anda juga perlu tahu bahawa setiap kehamilan adalah berbeza, tidak kiralah kehamilan yang pertama mahupun yang seterusnya. Mungkin tidak ramai yang sedar akan tanda-tanda awal lain yang menunjukkan anda sedang berbadan dua. 

Nak tahu tanda yang lainnya? Jom semak!

Foto: Preggy

1. Lelehan faraj lebih pekat

Anda mungkin mengalami masalah lelehan faraj pada satu-satu tempoh setiap bulan. Namun, kebanyakan wanita hamil akan mengalami lelehan faraj yang lebih pekat berbanding hari biasa di mana cecair yang keluar adalah berwarna putih melekit atau kuning pucat.

Gejala ini biasanya dialami semasa berada dalam trimester pertama yang disebabkan peningkatan hormon dan aliran darah pada vagina. 

2. Kerap terkencing

Jika anda kerap berulang-alik ke tandas kerana ingin terkencing, ini mungkin berita baik untuk anda! Boleh jadi anda sedang hamil kerana rahim yang sedang membesar akan menekan-nekan pundi kencing anda. 

3. Kembung perut

Macam pelik kan? Tapi, kembung perut antara simpton awal kehamilan. Sesetengah wanita hamil akan mengalami rasa ketidakselesaan pada bahagian perut seperti perut kembung dan berangin. Keadaan ini akan membuatkan anda kerap sendawa atau terkentut.

4. Tak sedap badan

Rasa letih, lesu dan nak demam? Ini mungkin antara simptom awal kehamilan anda. Ibu hamil akan mengalami gejala seperti hendak demam dan kurang bertenaga disebabkan tahap hormon anda sedang meningkat ketika ini. Ada masanya anda akan berasa mudah letih dan tidak bermaya untuk melakukan sesuatu perkara.

5. Haid

Jika anda mengalami pendarahan ringan atau bintik darah muncul pada hari sepatutnya anda haid, ini juga mungkin tanda anda sedang hamil. 

Untuk pengetahuan anda, kira-kira 25 hingga 40 peratus wanita hamil mengalami spotting atau pendarahan ringan pada awal kehamilan mereka. Namun, ia tidak bermakna anda sedang haid. 

Pendarahan ringan ini berlaku kerana telur yang telah disenyawakan menempel pada lapisan rahim. Ia dinamakan pendarahan implantasi, dan lazimnya berlaku kira-kira 2 minggu selepas konsepsi.

6. Air liur lebih banyak

Perubahan hormon semasa hamil akan menyebabkan sesetengah wanita hamil mengeluarkan lebihan saliva (air liur) tiga atau empat kuarts setiap hari. 

Mungkin anda rasa agak pelik dnegan tanda-tanda di atas kan? Apa pun, sentiasalah peka dengan perubahan yang berlaku pada diri anda, kalau dah tahu hamil, cepat-cepat berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan ya!

Sumber: Majalah PaMa

tex_admin