Categories: FeaturedSihat

6 cara mudah untuk kekal sihat tanpa perlu berbelanja!

 

Selera makan setiap individu berbeza, begitu juga dengan metabolisme badan yang tidak sama kadar keaktifannya bergantung pada tahap usia seseorang.

Namun begitu, satu perkara yang pasti adalah pengambilan makanan dalam menu harian akan mempengaruhi mutu kesihatan yang dimiliki.

Oleh itu, jika mahu mendapatkan badan sihat, pilih makanan yang menyihatkan dan amalkan senaman setiap hari.

 

Dr Tee E Siong. Foto: NSTP.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong, dalam buku Resipi Sihat Pilihan Bijak berkata makan adalah perbuatan yang menyeronokkan, namun harus waspada dan makanlah berdasarkan keperluan fizikal.

“Kurangkan makanan yang mengandungi banyak lemak seperti makanan yang digoreng, dimasak bersama santan dan makanan yang diproses.

“Seimbangkan pengambilan makanan dengan bersukan kerana bersukan membawa banyak kebaikan seperti menguatkan jantung, meningkatkan tahap tenaga, menolong tidur yang lebih baik dan hidup juga menjadi lebih baik,”katanya dalam buku berkenaan.

Artikel berkaitan: Kira kalori pastikan gaya hidup sihat.

Amalkan pengambilan makanan suku suku separuh seperti disarankan Kementerian Kesihatan – gambar hiasan. Foto: NSTP.

 

Sehubungan itu, dua kata kunci utama yang boleh dilakukan berdasarkan saranan Dr Tee adalah memastikan badan menerima makanan sihat daripada tiga kumpulan makanan asas ini iaitu karbohidrat, serat dan protein.

Sekiranya ketiga-tiga kumpulan makanan ini diambil secara seimbang, badan akan berfungsi dengan baik kerana mendapat bekalan asas, namun senaman juga perlu dilakukan kerana jika tiada sebarang tindakan dilakukan untuk mengeluarkan peluh, badan akan menjadi tidak sihat.

Artikel berkaitan: Ketahui senaman mudah dan murah untuk kekal sihat.

Justeru itu, pengambilan makanan seimbang dan senaman adalah dua tindakan asas yang perlu dilakukan demi memperoleh kesihatan yang baik.

Tempoh minimum senaman bagi setiap individu yang ingin memiliki badan sihat adalah 30 minit setiap hari dengan melakukan senaman kardio, namun jika anda boleh melakukan lebih daripada itu ia adalah bonus untuk diri sendiri.

Makanan yang dimasak dengan kaedah kukus lebih baik daripada dimasak bergoreng – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Hijab & Heels kongsikan juga enam panduan mudah untuk sihat:

1. Amalkan pengambilan makanan suku suku separuh seperti disarankan Kementerian Kesihatan.
2. Lebihkan pengambilan air kosong kerana air yang mencukupi akan menjadikan badan sihat.
3. Dapatkan tidur yang cukup sekurang-kurangnya enam jam untuk individu dewasa dan lapan jam untuk kanak-kanak.
4. Berhenti makan sebelum kenyang.
5. Kurangkan pengambilan gula dan garam dalam makanan.
6. Memasak dengan kaedah rebus atau kukus lebih baik daripada menggoreng

Shaidah Shafie