Categories: familuvFeatured

8 tanda bayi anda alami alahan dengan susu formula yang diberikan

Tidak dapat dinafikan bahawa susu badan ibu adalah sumber nutrien terbaik buat seseorang bayi itu.

Malangnya bukan semua ibu berpeluang untuk menawarkan susu semula jadinya setiap kali si kecil ingin menyusu. Kadangkala mereka terpaksa bergantung pada susu formula yang dijual di pasaran.

Walaupun susu formula sangat menyenangkan, ibu bapa tetap perlu berhati-hati kerana si kecil mungkin mempunyai alahan tenusu (dairy allergy) yang berpunca daripada formula berkenaan.

Tahukah anda tanda-tanda yang menunjukkan sekiranya susu formula yang dibeli itu tidak sesuai untuk anak anda?

Menurut theAsianparents, antara gejala utama yang boleh dikenal pasti adalah menerusi reaksi bayi iaitu bergantung pada jumlah susu yang diambil.

Tanda si kecil mungkin alah pada susu formula itu boleh dilihat seawal satu minggu selepas anak anda mula meminum susu formula berkenaan atau mungkin lebih awal.

Malangnya, tiada ubat yang mampu merawat alahan ini. Sebagai ibu bapa, anda patut peka dan cuba elakkan anak anda daripada mengambil produk tenusu atau susu lembu.

Jika tidak berwaspada, nyawa anak anda akan terancam. Ketahui tanda-tanda yang menunjukkan susu formula pilihan anda tidak sesuai untuk si comel.

1. Dia mengalami cirit-birit atau sembelit

Pastikan jika anak anda ada alami sembelit atau mengeluarkan najis cair berserta  darah. Jika hal ini dibiarkan, anak anda boleh kehilangan berat badan. Akhirnya tumbesarannya boleh terbantut.

2. Perutnya sakit atau kembung

Adakah anak anda sakit perut setelah meminum susu lembu atau formula? Jika ya, anda boleh sapukan ubat untuk hilangkan rasa tidak selesa. Tetapi jika ia berlarutan, sila berjumpa doktor.

3. Bintik merah timbul pada kulitnya

Foto: The Bump

Selalunya perkara ini berlkau apabila seseorang bayi itu terdedah pada suhu yang panas atau setelah dia berpeluh. Pada masa yang sama, ia juga boleh menjadi satu daripada tanda bagi alahan.

4. Dia mengalami masalah pernafasan

Alahan juga akan menjejaskan sistem pernafasan seseorang itu. Ia akan menyebabkan lendir terbentuk pada saluran pernafasan, jadi nafas bayi anda akan berbunyi.

Selain itu, bayi anda akan selalu bersin, hidungnya gatal dan matanya menjadi kemerahan.

5. Dia muntah

Jika bayi anda muntah-muntah, jangan disangka ia terjadi kerana dia minum susu terlalu banyak, atau tidak gemarkan rasanya.

Sebenarnya ada kemungkinan bayi anda rasa tidak selesa atau kerongkongnya terasa sesak.

6. Badannya naik ruam

Foto: Pinterest

Satu lagi gejala alahan yang biasa ialah ruam. Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh mendatangkan risiko kesihatan yang lebih membimbangkan seperti ekzema dan asma.

7. Dia batuk-batuk

Mula-mula, suara bayi anda berbunyi serak-serak, tetapi jika alahan ini bertambah teruk, dia akan mula kerap batuk setelah meminum susu formula ini.

8. Hidung atau matanya mula berair

Ramai orang yang mengalami alahan akan merasa gatal-gatal pada anggota badan mereka. Untuk mengenal pasti jika anak anda melalui perkara yang sama, periksa sama ada hidung atau matanya berair atau tidak.

Jika keadaannya teruk, dia akan ingin menggaru bahagian berkenaan kerana rasa gatal.

Kesimpulannya, adakah bayi anda menunjukkan mana-mana gejala yang dinyatakan? Jika ya, berhenti daripada memberinya susu formula dan sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor dengan segera.

Ad Ops