Featured By: Ad Ops December 23, 2019 @ 11:42am

8 teknik pertolongan cemas asas yang anda wajib tahu

Skil pertolongan cemas asas boleh menentukan nasib seseorang mangsa sebelum bantuan profesional tiba. Jadi kita memang patut tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu krisis membabitkan kesihatan seperti itu berlaku.

“Anda tidak semestinya perlu bertindak seperti seorang doktor atau paramedik,” kata Tracey Taylor daripada persatuan British Red Cross, menurut The Sun.

“Anda hanya perlu belajar beberapa skil mudah supaya anda boleh bertindak di dalam situasi cemas dan sedar bahawa anda sudah cuba sedaya mungkin untuk membantu.”

Beliau berkata lagi bahawa tiada siapa tahu bila kita akan perlukan skil ini. Kebanyakan situasi cemas berlaku dalam sekelip mata dan secara mengejut. Kita sepatutnya boleh berfikir secara waras dan bertindak dengan pantas serta tenang.

Di bawah ini adalah beberapa skil pertolongan cemas yang semua orang wajib tahu untuk bertindak di saat-saat kecemasan.

1. Mangsa rebah dan tidak bernafas

Jika seseorang itu tidak responsif mahupun bernafas, hubungi 999 secepat mungkin dan terus lakukan Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR).  

Besar kemungkinan ini ialah serangan jantung (cardiac arrest), iaitu apabila jantung berhenti mengepam darah ke seluruh badan. Mangsa akan tidak sedarkan diri dan rebah. Pernafasannya tidak teratur dan boleh berhenti.

Untuk lakukan CPR, baringkan mangsa dan berlutut di sisi rusuknya. Tindankan tapak tangan anda dan letakkannya di tengah-tengah dadanya (pastikan jari anda menyelangi satu sama lain). Luruskan lengan dan tegakkan badan supaya bahu anda berada betul-betul di atas tangan.

Dengan menggunakan kekuatan berat badan, tekan dada mangsa sebanyak 2 ke 2.5 inci ke dalam. Ulang dengan kadar 100 ke 120 kali setiap minit. Ulangi hingga bantuan profesional tiba.

Sumber: Verywell Health

2. Mangsa berdarah dengan banyak

Jika seseorang itu kehilangan darah dengan banyak kerana tercedera, perkara pertama anda perlu buat ialah untuk meletakkan tekanan pada luka supaya pendarahan berhenti.

Gunakan apa sahaja di sekeliling anda, seperti baju, selimut atau tuala dan tekankan pada luka.

Langkah seterusnya ialah untuk menghubungi talian kecemasan 999. Terus kenakan tekanan pada bahagian luka sehingga bantuan kecemasan tiba.

“Pendarahan yang banyak boleh membawa maut, jadi memang penting untuk kita hentikannya sebaik mungkin,” kata Tracey.

3. Mangsa disyaki sakit jantung

Tidak seperti serangan jantung, sakit jantung (heart attack) berlaku apabila salah satu arteri koronari tersumbat. Otot jantung kemudiannya kekurangan darah yang ada mengandungi oksigen. Jika dibiarkan, otot ini boleh mati.

Tetapi seperti serangan jantung, sakit jantung boleh membawa maut jika tidak dirawat. Sila hubungi 999 serta-merta. Sementara menunggu bantuan tiba, pastikan mangsa duduk dan rasa selesa serta tenang.

“Jika seseorang mengalami heart attack, ia boleh menyebabkan cardiac arrest, tetapi di fasa pertama, dia masih sedar dan boleh bercakap,” kata Tracey.

“Tetapi dia boleh rasa sakit di dada yang seolah-olah bergerak ke rahangnya dan ke perut. Dia juga akan tampak pucat dan berpeluh.”

4. Mangsa tercekik

Lakukan teknik Heimlich. Sumber: Pinterest

Orang yang tercekik akan memegang leher atau dadanya sambil tercungap-cungap. Dia tidak akan boleh beritahu apa masalahnya, jadi anda perlu bertindak dengan segera.

Berdiri di belakang mangsa, bongkokkan badannya ke hadapan dan pukul di antara tulang belikatnya dengan kuat sebanyak lima kali. Tujuannya ialah untuk melonggarkan apa sahaja yang tersumbat dalam tekaknya.

Jika teknik berkenaan tidak mujarab, anda perlu gunakan kaedah Heimlich Manoeuvre.

Lingkarkan tangan di sekeliling badan mangsa dari belakang. Dengan kuat, tarik ke dalam pada bahagian abdomennya, iaitu di bawah tulang rusuk. Tekanan daripada perbuatan ini boleh menolak objek yang tersangkut di saluran udara mangsa. Nota: perlahankan tekanan jika mangsa ialah kanak-kanak.

Hubungi 999 jika tiada perubahan yang berlaku. Sementara tunggu ambulans tiba, terus lakukan dua teknik yang disebut tadi.

5. Mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas

Jika seseorang pengsan, periksa jika mereka masih bernafas atau tidak. Dongakkan kepalanya dan rasa jika ada udara yang keluar daripada hidung.

Jika bernafas, gerakkan badannya supaya dia baring secara mengiring dan dongakkan kepala untuk membuka saluran pernafasan. Pastikan juga tiada apa yang tersekat. Hubungi 999.

“Memang penting untuk kita gerakkan badannya agar saluran pernafasannya tidak tersumbat,” kata Tracey.

“Dalam posisi itu, terus periksa kualiti pernafasannya.”

6. Mangsa terjatuh

Jika seseorang itu jatuh terseliuh, sediakan pek ais dan letakkan pada bahagian yang bengkak dan sakit. Guna sebuah pek sayuran yang disejukbekukan pun tidak mengapa, tetapi pastikan pek ini dibalut dalam tuala.

Sumber: Medical News Today

“Untuk memastikan ada tulang yang patah, periksa jika mangsa rasa sakit di bahagian badan seperti tangan atau kaki,” kata Tracey.

“Bentuknya mungkin lain macam, ataupun mangsa tidak mampu untuk menggerakkan atau membengkokkannya. Simptom lain termasuklah bengkak dan lebam.”

Katanya lagi, tulang patah sukar untuk dikenal pasti tanpa pemeriksaan sinaran X. Jika tidak pasti, anggap sahaja ia patah hingga tiba di hospital.

7. Kulit mangsa melecur

Letakkan bahagian kulit yang melecur di bawah aliran air sejuk selama sekurang-kurangnya 10 minit. Jika anda tiada air putih, gunakan apa-apa cecair sejuk seperti jus oren ataupun minuman bergas.

Kemudian balut (dengan longgar) dengan plastik bersih atau cling wrap. Tindakan ini akan meredakan rasa sakit dan elakkan jangkitan kuman.

Jika anak kecil anda yang menjadi mangsa, rujuk bantuan profesional dengan segera.

8. Mangsa dipatuk ular

Hubungi 999 dengan segera jika ular itu mungkin berbisa atau jika mangsa sukar bernafas mahupun hampir pengsan. Jika ular itu tidak berbisa, rawat kesan patukan seperti luka biasa.

Pastikan anda ingat bagaimana rupa ular yang mematuk mangsa supaya anda boleh terangkannya kepada pekerja kecemasan.

Sementara menunggu bantuan tiba, alihkan mangsa supaya jauh daripada ular. Baringkan mangsa tetapi pastikan luka patukan berada di bawah paras jantung.

Tenangkan mangsa dan kurangkan pergerakkannya agar bisa tidak merebak. Tutup luka dengan kain balutan yang longgar dan bersih.

Ingat! Jangan toreh bahagian kulit yang dipatuk. Jangan cuba sedut bisa. Jangan letakkan air atau ais pada luka. Jangan berikan ubat, alkohol atau air bergas kepada mangsa.

Semoga bermanfaat! Anda mampu menyelamatkan nyawa individu lain dengan pengetahuan ini!

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Wed, 21 Feb 2018

D’Bendang, Lokasi Percutian Menggamit Nostalgia Di Tengah Sawah

Indah pemandangan di siang hari, sebelah malamnya pula bertemankan nyaring dan sayup suara burung hantu bersilih ganti curahan hujan lebat, antara nikmat suasana semalaman berkampung di teratak D’Bendang Homestay, terletak di Kg. Sungai Sireh, Kuala Selangor.

Gaya Hidup Tue, 26 Mar 2019

Ini risikonya jika anda tidak mencabut selumbar yang tertusuk pada kulit

Jangan pandang remeh walaupun selumbar kecil sahaja.

Eat Travel Tue, 25 Dec 2018

Resipi Popiah Lapis Paling Rangup & Sedap

Boleh dimakan bersama sos cili dan air teh O panas! 

Featured Thu, 26 Jan 2023
Featured Wed, 1 Aug 2018

13 Foto Ini Menunjukkan Sejauh Mana Wanita Sanggup Pergi Untuk Nampak Perfect

Pelik betul produk-produk yang digunakan! Tak tahulah efektif atau tidak.

Featured Sat, 21 Jan 2023
Gaya Hidup Fri, 17 Aug 2018

9 Mitos Diet Yang Mungkin Disalah Erti Selama Ini

Jom semak 9 mitos mengenai diet yang biasa anda dengar.