Categories: FeaturedOh Lawa

Cara alternatif dan selamat menanggalkan pewarna kuku

Tempoh tujuh hari menstruasi sudah pun tamat dan seperti biasa anda ingin kembali menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim dengan mendirikan solat lima waktu.

Malangnya, bahan penanggal warna kuku (nail polish remover) untuk membersihkan pewarna di kuku anda pula kehabisan.

Ingin keluar untuk membelinya tatkala penularan wabak COVID-19 ini, lupakan saja hasrat itu memandangkan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilaksanakan untuk kebaikan bersama.

Lagipun penggunaan sesetengah penanggal warna kuku tidak digalakkan kerana bahan kimia iaitu acetone yang terdapat didalamnya boleh memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, apakah cara alternatif yang mudah dan selamat untuk membersihkan pewarna kuku bagi membolehkan anda melakukan rukun Islam ke-2 itu tanpa ragu?

Nak tahu apakah jawapannya, teruskan membaca!

1. Penanggal pewarna kuku DIY

Foto: Stylecraze

Guna bahan yang mengandungi alkohol tanpa acetone seperti rubbing alcohol. Bahan itu boleh didapati dalam sesetengah produk seperti pewangi, penyembur rambut, cecair pembasmi kuman atau deodoran penyembur, justeru anda boleh menggunakan produk berkenaan yang sesuai sebagai pengganti penanggal warna.

Caranya, rendam kuku selama 20 minit dengan produk terbabit atau sembur dan biarkan selama 10 minit kemudian gosok dengan menggunakan tuala kering atau tisu.

2. Ubat gigi

Foto: Aril Glow

Anda boleh menggunakan ubat gigi yang seeloknya yang berwarna putih dan tanggalkan pewarna kuku dengan cara menggosok menggunakan berus gigi lama. Lakukan berulang kali sehingga kuku bersih. Boleh juga di campur ubat gigi bersama serbuk penaik soda untuk hasil yang lebih berkesan.

3. Cuka dan lemon

Campur air cuka dan perahan lemon di dalam mangkuk. Kemudian rendam kuku selama 10 hingga 20 minit dan gosok dengan kuat menggunakan tuala. Jangan lupa sapukan krim pelembap pada jari tangan kamu selepas itu kerana lemon dan cuka akan mengeringkan kulit.

4. Air suam

Foto: Food NDTV

Cara ini adalah paling mudah, namun berkesan menanggalkan pewarna kuku. Rendam kuku ke dalam besen bersama air suam selama 10 minit. Kemudian gosok dengan tuala kasar dan oles minyak kelapa dara ke kuku selepas itu. Pasti kuku akan berkilat dan bersih. Minyak kelapa dara juga melembapkan kulit di sekitar jari.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Selamat mencuba!

Yanie Baharom